Search

Sabah FC bawa aura ‘Toro’ ke gelanggang lawan

May 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC bakal tampil dengan jersi baharu serba biru yang dinamakan ‘Toro’ untuk aksi Liga Super musim ini di laman lawan.

Jersi itu dipakai bermula dengan perlawanan menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan, malam ini.

Toro bermaksud utara dalam bahasa Bajau yang dikaitkan dengan musim tiupan angin dari utara disasar untuk menaikkan semangat pemain Sabah FC untuk tampil dengan ‘aura’ badai laut.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Sabah FC, kelab itu menyifatkan Sang Badak dilihat lebih yakin setiap kali berdepan dengan pemain lawan di gelanggang luar.

“Toro bermaksud utara dalam kalangan orang Bajau yang tinggal di pesisiran pantai Sabah. Perkataan ini sinonim dengan musim tiupan angin dari utara atau lebih dikenali sebagai musim monsun yang mana ia berbahaya kepada bot kecil dan nelayan pantai akan mengelak daripada turun ke laut.

“Signifikan Toro sebagai nama jersi Sabah FC ialah kehadiran dan ‘aura’ warna biru lautan dalam, selain kebiruan langit yang akan dibawa pemain ke gelanggang pasukan lawan,” katanya.

Sabah FC sebelum ini memperkenalkan jersi untuk perlawanan di Stadium Likas yang dinamakan ‘Tagap’ bermaksud tegap atau sasa sebagai motivasi untuk tampil dengan lebih baik dalam aksi Liga Super di laman sendiri pada musim ini.

Jersi berwarna merah itu dilancarkan Timbalan Ketua Menteri Sabah selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya pada 9 Mei lalu.

Beliau menyifatkan jersi baharu itu sebagai penyuntik semangat bukan saja kepada pemain Sabah FC, malah peminat bola sepak yang mahu melihat pasukan kesayangan mereka tampil lebih bertenaga musim ini. – Info X