JOHOR BAHRU: Dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram, di sini jam 2.54 pagi tadi.
Suspek dalam kejadian itu turut ditembak mati di lokasi kejadian.
Berdasarkan laporan Berita Harian, dua anggota polis dan suspek yang maut serta anggota yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Perkembangan itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati anggota polis ditetak dan ditembak. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Berita Harian melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dijadual ke lokasi kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku pada jam 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.
Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak di belakang leher dan kepala. – Info X