KOTA KINABALU: Sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, PETRONAS mempersembahkan filem “Linundus Do Koubasanan” (Seindah Tradisi), yang menyingkap mesej pentingnya perpaduan dan tradisi dalam memupuk keharmonian masyarakat.
Filem ini dihasilkan menerusi arahan bersama Bebbra Mailin dan Rewan Ishak yang telah berjaya memberikan sentuhan istimewa dalam mengetengahkan kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan.
Penggambaran Linundus Do Koubasanan berlangsung di Kampung Kiau, sebuah desa di lembah Gunung Kinabalu, yang telah menjadi inspirasi dalam pengolahan filem ini kerana keunikan landskapnya, sekali gus memaparkan keindahan sinematografi.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Siti Azlina Abdul Latif, berkata, “Diilhamkan oleh semangat Kaamatan, ‘Linundus Do Koubasanan’ menekankan kepentingan memelihara warisan budaya kita daripada generasi ke generasi.
“Melalui filem ini, kami juga ingin menonjolkan peranan penting perpaduan dan tradisi dalam mengekalkan keharmonian masyarakat.”Filem ini memaparkan kisah Fridden, seorang budak lelaki yang ditugaskan oleh bapanya untuk membantu membuat persiapan menjelang perayaan Kaamatan.
“Penonton diperkenalkan kepada pelbagai aspek cara hidup masyarakat, daripada amalan tradisi dan dialek tempatan, hinggalah kepada cabaran dan kejayaan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Majlis previu eksklusif filem itu berlangsung di Imago Shopping Mall, di sini, hari ini, dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

“Linundus Do Koubasanan” boleh disaksikan di saluran YouTube dan Facebook rasmi PETRONAS mulai hari ini. – Info X