Search

11 wanita disyaki terbabit kegiatan tidak bermoral ditahan di Labuan

May 22, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Sebelas wanita warga Filipina ditahan selepas dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral dalam serbuan di sebuah pusat hiburan dan kuaters di kawasan Lazenda Commercial Centre, di sini, kelmarin.

Serbuan menerusi Op Noda (Pusat Hiburan) oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Labuan turut menahan penjaga premis berkenaan, jam 10.30 malam.

Antara wanita yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan di Labuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis, Azmi Abd Rahim berkata, serbuan pertama dilakukan di premis pusat hiburan dan memeriksa seorang lelaki iaitu penjaga premis dan seorang wanita warga Filipina yang mengaku bekerja di premis berkenaan sebagai pelayan.

“Pemeriksaan mendapati visa wanita terbabit meragukan dan soal siasat wanita itu memberitahu bahaya terdapat 10 lagi wanita Filipina yang bekerja sebagai pelayan di premis berkenaan sedang berada di kuarters pekerja pusat hiburan berkenaan.

“Pasukan operasi kemudian menjalankan serbuan dan menahan seramai 10 wanita warga Filipina dan semakan mendapati semua tangkapan mempunyai visa yang meragukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata, semua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun itu adalah pelayan dan turut disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan.

“Pasukan operasi turut merampas semua pasport wanita terbabit dan 11 keping resit ‘ladies drink’.

Pasukan operasi menyerbu premis pusat hiburan yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral di Labuan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pelacuran,” katanya.

Sementara itu, Azmi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan warga asing yang didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja atau menjalankan aktiviti tidak bermoral serta menyalahi undang-undang. – Info X