Search

STB jumpa duta asing semak semula nasihat perjalanan ke pantai timur Sabah

May 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengambil inisiatif proaktif untuk mengadakan libat urus dengan negara yang mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka ke pantai timur Sabah.

Sesi libat urus bersama beberapa kedutaan asing di Kuala Lumpur pada Isnin lalu itu diketuai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai.

Ia dihadiri Timbalan Ketua Delegasi Kesatuan Eropah (EU), Timo Goosman; Duta Besar Perancis, Axel Cruau; Duta Besar Itali, Nassimo Rustico; Duta Besar Finland, Sami Leino; Duta Besar Norway, Morten Paulsen dan wakil dari Kedutaan Australia, Amerika Syarikat serta Jerman.

Joniston berkata sesi libat urus itu disasar untuk memberi maklumat terkini kepada kedutaan negara terbabit mengenai langkah mengukuhkan keselamatan di pantai timur Sabah dengan objektif agar nasihat perjalanan sebelum ini disemak semula.

Katanya, mereka diberikan penerangan oleh pegawai kanan dari Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mengenai pelbagai pendekatan untuk mengukuhkan keselamatan di pantai timur.

“Sabah merekodkan seramai 8,359 pengunjung dari Eropah dan United Kindom, manakala 936 pengunjung dari Oceania ke pantai timur Sabah sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

“Ini menunjukkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pelawat terhadap tahap keselamatan di kawasan pantai timur Sabah,” katanya.

Katanya, diplomat yang menghadiri sesi libat urus itu mengambil maklum dan mengakui langkah keselamatan yang dilaksanakan ESSCOM sekali gus memberi jaminan akan memanjangkannya kepada kerajaan negara masing-masing.

Sementara itu, mengulas inisiatif STB itu, Goosman berkata maklumat yang disampaikan kepada mereka perlu untuk negara ahli EU apabila membuat keputusan bagi menyemak semula nasihat perjalanan yang dikeluarkan sebelum ini.

Rustico pula berharap sesi libat urus seperti itu boleh diadakan secara kerap bagi membolehkan mereka mendapatkan perkembangan terkini keselamatan di kawasan terbabit.

Bagi Cruau, beliau percaya dengan langkah meningkatkan langkah keselamatan, ramai rakyat Perancis akan melawat tempat menarik di pantai timur Sabah.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jimit, berkata ketibaan pelancong Eropah penting bagi Sabah dan STB akan terus melaksanakan usaha promosi secara agresif di Eropah.

Katanya, kedatangan pelancong dari Eropah menunjukkan pemulihan yang baik dengan peningkatan 105 peratus dari paras sebelum pandemik dengan seramai 18,196 pelawat atau kenaikan 35.8 peratus sepanjang tiga bulan pertama tahun ini. – Info X