Search

Pemuda PBS : UMNO penipu besar

May 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memulangkan paku buah keras kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang didakwa menuduh PBS sebagai pengkhianat berdasarkan satu video tular baru-baru ini.

Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut, berkata tuduhan dilemparkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu menunjukkan tahap pengetahuannya yang dangkal terhadap sejarah politik Sabah.

Katanya, sebagai ahli politik veteran di Sabah, Bung Moktar seharusnya tahu sejarah PBS dan tidak membuat tuduhan sedemikian kerana ia adalah satu penipuan.

“Atau apakah Bung sengaja memutarbelitkan fakta sejarah seperti kebiasaan untuk mengaburi pemikiran rakyat?

“Sebagai pengetahuan dan ingatan semula Bung Moktar, PBS adalah sebuah parti politik tempatan pelbagai kaum di Sabah yang tertubuh atas kehendak dan gerakan kebangkitan rakyat pada 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christoper berkata, PBS bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 16 Mac 1985 yang ketika itu baru berusia 47 hari selepas didaftarkan secara rasmi pada 5 Mac tahun yang sama.

PRN itu menyaksikan PBS berjaya memenangi sebanyak 25 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kemenangan itu bagaimanapun tidak disenangi Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan). Akibatnya bermulalah layanan tidak adil dan dianaktirikan oleh Kuala Lumpur. Pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak berasas juga dilontarkan kepada PBS.

“Tekanan berterusan dari Kuala Lumpur KL dan pemimpin parti yang kalah bertujuan untuk mengganggu kestabilan politik (termasuk rusuhan) maka kerajaan yang baru dibentuk itu terpaksa dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRN semula pada Mei 1986.

“Kali ini, PBS bukan hanya menang tipis tetapi berjaya mengukuhkan kedudukannya dengan memenangi 34 daripada 48 kerusi iaitu kemenangan dua pertiga di DUN Sabah,” katanya.

Malangnya, beliau berkata kemenangan besar PBS itu tidak menghentikan taktik dan usaha kotor Kuala Lumpur kepada kerajaan negeri di bawah PBS pada masa itu sehingga pada pilihan raya 1994.

Beliau mendakwa, pada masa itulah Kuala Lumpur mengarahkan dan menggerakkan seluruh jentera persekutuan untuk menghancurkan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Antara pengkhianatan yang mereka lakukan ialah memanipulasi senarai pengundi dengan memasukkan pengundi-pengundi hantu yang telah mereka atur melalui projek IC. Perkara ini dilaporkan dalam Laporan RCI sebelum ini. Bukan fitnah.

“Pada masa ini BN yang diketuai oleh UMNO telah melebarkan sayapnya ke Sabah. Di sebalik semua taktik tipu dan kotor yang dilakukan termasuk politik wang, PBS masih mampu memenangi 25 kerusi berbanding 23 kerusi dimenangi oleh BN.

“Ada beberapa rentetan peristiwa yang saya pilih untuk tidak disebut kali ini. Peristiwa tersebut antara penyebab kepada kejatuhan kerajaan yang dipilih oleh rakyat pada masa itu dan sememangnya didalangi oleh Kuala Lumpur,” katanya.

Berdasarkan fakta itu, Christopher mempersoalkan siapa sebenarnya yang menjadi pengkhianat.

“Kenyataan Bung Moktar bahawa PBS sebagai pengkhianat adalah tidak benar kerana penipu besar sebenarnya adalah UMNO sendiri.

“UMNO yang sebenarnya penyebab berlakunya kebanjiran PATI di Sabah, penyebab berlakunya ‘pengundi hantu’ di Sabah, penyebab pemberian IC palsu, penyebab politik wang dan pemecah-belah kerukunan dan perpaduan di Sabah,” katanya. – Info X