Search

Jambatan Kampung Lungkidau dibina semula tahun ini

May 24, 2024

Info X Reporters

RANAU: Jambatan Kampung Lungkidau, dekat sini, yang runtuh sejak beberapa tahun lalu sebelum mendapat perhatian Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Kembara Borneo Yang di-Pertuan Agong pada September tahun lalu akan dibina semula pada tahun ini dengan kos RM25 juta.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kerja reka bentuk dan penyediaan dokumen tender untuk projek pembinaan jambatan itu sudah disiapkan.

Jelasnya, tender projek itu akan dibuka pada awal bulan depan dan dijangka surat setuju terima atau lantikan kontraktor yang berjaya dapat dibuat pada Oktober depan.

“Seterusnya kerja-kerja memasuki tapak dan pembinaan boleh dibuat dan saya difahamkan tempoh pembinaan jambatan itu akan memakan masa selama 24 bulan dari tempoh lantikan kontraktor.

“Reka bentuk jambatan baharu itu berbeza berbanding apa yang dibina sebelumnya. Kos sekitar RM25 juta,” katanya selepas tinjauan di lokasi jambatan terbabit di Kampung Lungkidau, di sini, semalam.

Shahelmey ketika tinjauan di lokasi jambatan runtuh di Kampung Lungkidau, Ranau.

Difahamkan, jambatan merentangi Sungai Liwagu itu siap pada 2017 sebelum runtuh dilanda arus deras dan dibaiki pada 2020, namun sekali lagi runtuh pada 2022 menyebabkan lebih 1,000 penduduk terjejas.

Pada 6 September tahun lalu, Al-Sultan Abdullah yang dalam perjalanan Kembara Kenali Borneo dari Sandakan ke Ranau berhenti di lokasi jambatan berkenaan dan melihat kerosakan yang dialami sebelum baginda sendiri menyuarakan perkara itu kepada kerajaan.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata susulan perhatian diberikan Al-Sultan Abdullah itu, pihaknya bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited untuk melaksanakan pembinaan jambatan baharu di kampung terbabit.

Dalam pada itu, sementara menunggu pembinaan jambatan baharu itu siap, Shahelmey berkata sebuah jambatan gantung baharu disediakan bagi memudahkan penduduk menyeberangi Sungai Liwagu.

“Jambatan gantung itu sudah dalam proses pembinaan dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan dari sekarang. Ia bagi memudahkan penduduk menyeberangi sungai,” katanya. – Info X