KENINGAU: Tiga individu, termasuk seorang wanita dihukum penjara tujuh hari dan denda RM15,000, manakala seorang lelaki dipenjara tiga bulan dan denda RM20,000 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Flavian Edward Henry selepas pertuduhan ke atas keempat-empat tertuduh dibacakan di Mahkamah Majistret Keningau, di sini, hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan penjara selama setahun lagi terhadap tiga tertuduh jika mereka gagal membayar denda, manakala seorang berdepan penjara dua tahun lagi jika gagal membayar denda.
Individu yang dipenjara tiga bulan dan denda RM20,000 itu melakukan kesalahan yang sama buat kali kedua.
Kesemua tertuduh yang berumur antara 30-an hingga 60-an itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Mereka ditahan ketika operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Keningau di sekitar bandar Keningau pada awal tahun ini.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Inspektor Abdullah Hussain @ Che Mat, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh alkohol terutama pada musim perayaan ketika ini bagi mengelakkan kemalangan yang melibatkan nyawa. – Info X