PUTATAN: Seramai 28 nelayan dari sekitar Putatan, Pulau Gaya, Papar dan Kota Belud menerima kemudahan enjin sangkut dan modal pusingan untuk memajukan lagi aktiviti berasaskan perikanan yang diceburi mereka.
Daripada jumlah itu, seramai 14 orang menerima enjin sangkut menerusi Skim i-Nelayan, manakala seramai 10 usahawan wanita nelayan menerima kemudahan modal pusingan i-Hiliran.
Baki seramai empat orang lagi menerima Innopack Rekabentuk Pembungkusan dan Stickers, ketiga-tiganya menerusi inisiatif Program Peningkatan Pendapatan dan Pembangunan Usahawan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dilaksanakan Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan).
Pengerusi KO-NELAYAN, Kong Soon Choi, berkata inisiatif itu membabitkan peruntukan berjumlah RM246,650.
“Peruntukan untuk Wilayah Pantai Barat ini adalah sebahagian daripada RM1.5 juta yang diberikan kepada Ko-Nelayan pada tahun 2024 untuk program Peningkatan Pendapatan dan Pembangunan Usahawan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Program Pembangunan Nelayan Wilayah Pantai Barat yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, di sini, semalam.
Soon Choi berkata, sepanjang empat tahun pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12, Ko-Nelayan sudah menyalurkan pembiayaan kewangan berjumlah RM4.2 juta kepada 408 orang nelayan dan pengusaha PKS perikanan di seluruh negeri.

“Jumlah bilangan fizikal dan kewangan ini akan meningkat memandangkan kita mempunyai baki setahun lagi sebelum RMK-12 tamat.
“Selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Ko-Nelayan melaksanakan program peningkatan pendapatan yang meliputi pembiayaan skim i-Nelayan, i-Hiliran, i-Akuakultur dan i- Usahawan.
“Kemudahan ini, menyediakan suntikan modal pusingan dan peralatan tangkap kepada nelayan dan peralatan atau mesin kepada pengusaha PKS perikanan,” katanya.
Beliau berkata, skim pembiayaan yang dikendalikan Ko-Nelayan sangat popular di kalangan nelayan dan pengusaha PKS perikanan negeri ini.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat menimbangkan untuk menambah peruntukan pada masa akan datang agar lebih ramai nelayan dan pengusaha PKS perikanan mendapat faedah.
Sementara itu, Shahelmey berkata kerajaan negeri akan meneruskan Program Peningkatan Pendapatan Kumpulan Sasar untuk membantu golongan nelayan artisanal serta PKS perikanan melalui penyaluran dana kepada pelbagai agensi kerajaan termasuk Ko-Nelayan.
“Kerajaan negeri pada tahun ini melalui Ko-Nelayan telah menyalurkan dana berjumlah lebih RM1 juta untuk meningkatkan projek seperti Bantuan Pembangunan Asas Perkampungan Nelayan, Program Latihan Pembangunan Nelayan, projek Pengembangan Ternakan Ikan Dalam Sangkar dan Projek Nelayan Digital.
“Kerajaan juga meneruskan pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan melalui Ko-Nelayan agar nelayan dapat menikmati harga minyak yang murah berbanding pembelian minyak di stesen minyak biasa.
“Ini sudah tentu akan meringankan beban nelayan yang menghadapi tekanan ekonomi disebabkan peningkatan kos sara hidup,” katanya. – Info X