Search

BBC GRS-PH Sabah bantah penubuhan JKDM, minta PM campur tangan

May 30, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Sabah menegaskan pendirian tidak bersetuju terhadap penubuhan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah.

Pengerusi BBC GRS-PH Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata jawatankuasa peringkat kampung yang diusulkan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak seharusnya dibawa ke Sabah.

Sehubungan itu, katanya BBC GRS-PH Sabah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam isu itu dengan menasihatkan Ahmad Zahid supaya menarik semula pelantikan JKDM.

Katanya, jawatankuasa berkenaan bukan dasar Kerajaan Persekutuan yang dibentang di Parlimen untuk kelulusan perbelanjaan dan atas sebab itu penggunaan wang rakyat membiayai elaun jawatan dalam JKDM hanya bermotifkan politik dan satu pembaziran yang merugikan rakyat.

“Perkara ini juga jelas bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri untuk mempromosikan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di mana tiada majoriti mudah di kalangan parti yang bertanding.

“Sekiranya ia adalah Dasar Kerajaan Persekutuan, mengapa negeri lain seperti Sarawak dan Pulau Pinang tidak ada pelantikan jawatan seumpama itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Yusof berkata, di Sabah, pelaksanaan JKDM bercanggah dengan keputusan Kerajaan Negeri menerusi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-16 Penggal Keempat pada November 2023 yang meluluskan pindaan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

Katanya, ordinan itu memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang memainkan peranan dalam pentadbiran kampung yang merangkumi aspek tadbir seperti keselamatan dan pembangunan untuk kemajuan kampung.

“Selain daripada mencabuli Perlembagaan Negeri Sabah, perkara ini juga akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat akar umbi.

“Sebenarnya pengurusan dan pentadbiran peringkat kampung, selain Ketua Kampung, JKKK adalah salah satu entiti yang bertanggungjawab untuk memastikan keperluan dan juga keselamatan di setiap kampung.

“Sekiranya JKDM dilantik maka akan berlaku pertindihan kuasa, fungsi dan tugas yang boleh menyebabkan berlaku ketegangan. Perkara ini juga akan menyulitkan pengurusan di peringkat Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran.

“Walaupun saja alasan diberikan oleh Ketua UMNO Sabah yang juga ADUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa penubuhan JKDM tidak bercanggah dan lebih kepada memperkasa ekonomi dan keusahawanan tetapi sebenarnya ia bertindih dan mengelirukan,” katanya.

Beliau berkata, program keusahawanan di peringkat negeri sepatutnya dilaksanakan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) Sabah, manakala di peringkat nasional melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang diterajui Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang ADUN Kadamaian.

Katanya, program keusahawanan di negeri ini sepatutnya dilaksanakan di bawah KUSKOP dan dikoordinasikan di bawah MIDE.

Pengerusi BBC GRS-PH Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

“Justeru, tidak perlu lagi JKDM ini diwujudkan di Sabah bagi mengelakkan pertindihan tanggungjawab yang mengelirukan rakyat dan pembaziran dana.

“Ahli BBC GRS-PH Sabah, Datuk Ewon Benedick (ADUN Kadamaian) telah menyatakan pendirian secara berani dan tegas di Kabinet Persekutuan tidak bersetuju dengan penubuhan JKDM tanpa memikir soal risiko peribadi sebagai Menteri Persekutuan, namun jelas keikhlasan kejujuran beliau kepada negeri Sabah tercinta.

“Ahli-ahli BBC GRS-PH Sabah menentang mana-mana pihak dari luar dan dalam Sabah yang mahu memecahbelahkan, mengganggu kehormanian yang kita bina semula setelah kehancuran kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Permuafakatan dibina yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor terhadap perpaduan suku kaum dan parti-parti tempatan jelas memperlihat keyakinan mereka kepada Kerajaan Negeri sekarang pimpinan beliau,” katanya.

Sehubungan itu, katanya BBC GRS-PH Sabah meminta Kerajaan Negeri mengambil keputusan tegas untuk tidak mengiktiraf penubuhan JKDM di Sabah dan meminta Kabinet Kerajaan Persekutuan membatalkan lantikan JKDM di Sabah. – Info X