TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau menahan dua bot penumpang tempatan selepas membawa muatan tanpa permit dalam dua tangkapan berasingan, di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejadian dikesan kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Sejahtera dan Op Tiris sebelum memintas sebuah bot penumpang yang bergerak dari Jeti CIQ, Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 10.10 malam Khamis.
“Hasil pemeriksaan terhadap bot yang ditahan di kedudukan 1.1 batu nautika timur laut Tanjung Saima itu mendapati bot dikendalikan seorang juragam lelaki warga tempatan berusia 47 tahun.
“Pemeriksaan selanjutnya mendapati bot berkenaan membawa muatan empat gelen minyak petrol dengan anggaran 140 liter dan dua tong gas LPG berisi tanpa sebarang permit yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kira-kira sejam selepas penahanan bot pertama, sebuah lagi bot penumpang tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang sama di lokasi 1.24 batu nautika timur laut Tanjung Saima.

“Hasil pemeriksaan bot penumpang itu mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berusia 23 tahun juga membawa muatan lima gelen minyak petrol anggaran 175 liter tanpa sebarang permit dan melanggar syarat sah lesen bot penumpang.
“Semua bot bersama muatan serta kedua-dua juragan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM.
“Kes disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967,” katanya.
Tambahnya, semua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM52 ribu.
Shahrizan berkata, pihaknya tidak menolak wujudnya ‘runner minyak’ yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan ini dalam kuantiti kecil namun secara berulang bagi menembusi pasaran di negara jiran.
“Situasi ini antara cabaran penguatkuasaan di kawasan persempadanan, namun kita akan terus mengekang sindiket penyeludupan ini bagi mengelakkan ketirisan barang kawalan.
“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian MERS 999,” katanya. – Info X