PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan kepada Sabah meningkat dengan banyak sejak beliau mengetuai Kerajaan Perpaduan.
Katanya, pada tahun ini saja sebanyak RM16 bilion diberikan kepada negeri ini berbanding peruntukan RM12.9 bilion diberikan kerajaan sebelum ini pada 2022.
Beliau berkata, jumlah RM16 bilion itu melebihi tuntutan 40 peratus, namun menjelaskan isu berkenaan tetap akan diatasi melalui muafakat semua pihak di negeri ini dengan kerajaan persekutuan.
“Sejak saya jadi Perdana Menteri berbanding sebelumnya iaitu pada tahun 2022, peruntukan keseluruhan Sabah ialah RM12.9. Jika dibandingkan pada 2024, saya tambah menjadi RM16 bilion untuk Sabah.
“Jadi orang yang menyerang kita harus ingat, betul isu 40 peratus belum diputuskan tetapi RM16 bilion ini jauh melepasi 40 peratus itu.
“Boleh buat tuntutan, tapi jangan nafikan itu kerana bila dengar RM16 bilion memang senang. Tapi apabila saya ke Pulau Pinang, Pahang, Johor, mereka juga akan tanya.
“Saya boleh jawab ini soal infrastruktur, tapi saya nak tekankan kita perlu satu hati, perlu muafakat untuk kita atasi secara berperingkat.
“Saya baru setengah tahun jadi Perdana Menteri, dalam setengah tahun ini saya sudah naikkan peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikiab pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini, hari ini.
Perdana Menteri menekankan, beliau tidak mahu tuntutan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tertangguh lagi dan menyerahkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menyelesaikan segera.
Katanya, beliau juga sentiasa mengambil peluang bertanya kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berhubung perkara itu setiap kali mesyuarat Kabinet.
Anwar berkata, perhatiannya kepada Sabah dan Sarawak menyebabkan ada pihak di Semenanjung menuduhkan melebihkan kedua-dua negeri itu.
“Semalam, Pulau Pinang pula minta 20 peratus, jadi sentimen ini ada dan kita melihat perkara ini dan runding dengan baik, saya tidak anggap ini menyusahkan,” katanya. – Info X