RANAU: Seorang pemandu van cedera akibat tersepit manakala tujuh penumpang terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah van dengan treler di Jalan Kinabalu Park, Kundasang, di sini, hari ini.
Pemandu lelaki berusia 41 tahun yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.23 petang.
Katanya, kemalangan membabitkan treler membawa muatan tiang konkrit dan sebuah van bertembung.
“Terdapat sembilan mangsa keseluruhan terbabit termasuk lapan mangsa di dalam van serta seorang pemandu lori.
“Pemandu van yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan Hydraulic Power Unit,” katanya.

Menurutnya, tujuh penumpang wanita dalam van berada dalam keadaan selamat manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ranau menggunakan Ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang,” katanya. – Info X