Search

Tindakan pantas orang awam selamatkan remaja dihanyut arus deras

June 2, 2024

Info X Reporters

KIMANIS: Tindakan pantas orang awam memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) berjaya menyelamatkan seorang remaja yang dihanyutkan arus deras di Pusat Rekreasi TMEC, Ulu Kimanis, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun terbabit bagaimanapun dikatakan masih tidak sedarkan dan sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan pada jam 11.38 pagi.

Katanya, mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri terus diberikan bantuan CPR orang awam sebaik berjaya dibawa naik ke tempat selamat.

“Setibanya pasukan operasi di lokasi, proses CPR diteruskan lagi oleh anggota bomba dan Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba mengangkat mangsa sebaik ditemui oleh orang awam di kawasan Pusat Rekreasi TMEC, Ulu Kimanis. – Foto/Bomba

Menurutnya, hasil bantuan CPR itu, mangsa memberikan respon positif dan terus dikejarkan ke hospital menaiki ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.30 petang. – Info X