KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Confucius Institute (CI) baru-baru ini melancarkan Program Pemerkasaan Akademik Pelajar Bumiputera di Sekolah Rendah Aliran Cina di Sabah.
Menerusumi kenyataan CI UMS, program yang pertama seumpamanya itu diperkenalkan dengan kerjasama Persatuan Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Cina Jenis Kebangsaan Sabah (Sabah Donglian).
Ia turut disokong dan menerima bantuan daripada Universiti Sains dan Teknologi Changsha (CSUST), China, bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik bagi pelajar bukan Cina, terutamanya Bumiputera.
“Statistik di Sabah dan Sarawak menunjukkan bahawa jumlah pelajar Bumiputera di sekolah rendah aliran Cina adalah sebanyak 70 peratus di beberapa kawasan pinggir bandar dan luar bandar, malah ada yang meningkat sehingga 100 peratus di beberapa lokasi.
“Pembangunan pesat negara China telah membuka banyak peluang untuk kerjasama dengan dunia luar dan mendorong lebih ramai orang untuk mempelajari Bahasa Cina termasuk pelajar Bumiputera.
“Bagaimanapun, ramai pelajar bukan Cina mendapati sukar untuk berada di landasan yang sama dengan rakan-rakan mereka yang berbangsa Cina kerana halangan bahasa dan tiada asas dalam bahasa Cina,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut, guru turut menghadapi cabaran untuk mengajar murid dari latar belakang yang berbeza dengan tahap kecekapan bahasa yang berbeza-beza.
“Justeru, program ini dilancarkan untuk menangani isu tersebut dengan menyediakan siri latihan, perbincangan, pemantauan, maklum balas, dan penilaian.
“Pengalaman yang diperoleh dari program ini akan diulangi lagi ke sekolah-sekolah lain di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran program yang berlangsung secara dalam talian itu berharap agar semua peserta mendapat manfaat yang signifikan menerusi program itu
Naib Presiden CSUST, Prof Liu Zhao Hui juga berkongsi harapan yang sama, selain turut menekankan kepentingan latihan itu dan menjangkakan lebih banyak kerjasama lanjut di antara CSUST dan UMS dalam pelbagai bidang pada masa depan.
Program itu menarik lebih 200 penyertaan dalam kalangan guru dan pengetua dari pelbagai sekolah rendah aliran Cina di Sabah.
Turut hadir pada sesi pelancaran program ialah Timbalan Pengerusi Sabah Donglian, Tan Chong How; Pengarah CI UMS (Malaysia), Prof Ts Dr Chong Khim Phin; dan Pengarah CI UMS (China), Prof Madya Dr Huang Yuehua. – Info X