Search

Malaya gagal fahami sentimen rakyat Sabah berhubung tuntutan 40 peratus

June 3, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang aktivis menyifatkan kerajaan persekutuan gagal memahami sentimen rakyat Sabah jika berpandangan bahawa tuntutan hak 40 peratus hasil dari negeri ini adalah sama dengan peruntukan tahunan yang diagihkan kepada Sabah.

Berikutan itu, Mazliwati Abdul Malek yang juga Ahli Majlis Tertinggi Warisan mencadangkan agar penilai swasta dilantik untuk mengira jumlah 40 peratus yang seharusnya dibayar kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ketua Pasukan Penyelidikan MA63 Warisan, berkata ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengatakan peruntukan RM16 bilion kepada Sabah tahun ini melebihi jumlah 40 peratus itu adalah salah.

Katanya, Anwar tersilap jika menganggap peruntukan tahunan dan kelayakan perlembagaan sebanyak 40 peratus di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu adalah perkara yang sama.

“40 peratus yang disebutkan itu adalah hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Akta 26/63 yang diperolehi daripada MA63 adalah berbeza daripada RM16 bilion yang disebut Perdana Menteri.

“40 peratus itu adalah hak kita. Ia satu sebab Sabah bersetuju membentuk Malaysia. Ia sebenarnya adalah hasil pertumbuhan yang dikongsi.

“Pemberian khas adalah terma yang salah kerana ia bermakna memberikan semula kepada pihak yang memberi. Hasil pertumbuhan yang dikongsi ialah wang yang boleh disimpan dalam perbendaharaan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazliwati berkata sentimen rakyat Sabah wajar mendapat pengiktirafan dan keperluan serta aspirasi mereka seharusnya dihormati.

“Rakyat Sabah dilucutkan hak mereka selama lebih enam dekad. Melangkaui sokongan kewangan yang dapat membantu pembangunan Sabah, isu pentingnya ialah Sabah mahu mendapatkan pengiktirafan nilai sebenar dalam persekutuan.

“Ia sepatutnya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kerajaan persekutuan pada masa kita meraikan acara kebudayaan yang penting.

“Rakyat Sabah sangat mementingkan keamanan. Kita gembira dalam apa saja keadaan yang dilemparkan, tapi ia bukan bermakna kita boleh diambil kesempatan.

“Kesedaran MA63 sudah tersebar ke seluruh Sabah. Ia sudah menjadi mimpi yang diperbaharui demi kehidupan yang lebih baik, tapi jika kamu tidak menghormati kami, ia mungkin menjadi mimpi ngeri kamu,” katanya.

Katanya, langkah terbaik Anwar ialah memenuhi janjinya untuk melaksanakan MA63 berbanding berulang kali memberitahu rakyat Sabah bahawa kerajaan persekutuan sedang melaksanakannya.

Mazliwati turut menghargai usaha Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan menyifatkan negeri ini bernasib baik kerana mempunyai badan seperti SLS untuk melindungi hak Sabah. – Info X