KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak menyokong sebarang usaha oleh mana-mana kumpulan pelajarnya yang mahu mengadakan perhimpunan di tempat awam bagi sebarang kempen atau protes terhadap isu air atau apa saja isu.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata UMS pada dasarnya tidak membenarkan sebarang aktiviti yang boleh mewujudkan ketidakselesaan atau gangguan terhadap ketenteraman awam.
“UMS tidak pernah menggalakkan pelajarnya untuk mengadakan perhimpunan atau aktiviti di tempat awam yang tidak mendapat permohonan kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Universiti percaya sebarang isu boleh disuarakan mengikut prosedur dan saluran yang betul tanpa perlu mengambil tindakan secara membuta tuli,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Kenyataan itu menyusul berikutan penganjuran satu kempen yang dipanggil Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah pada 14 Jun ini di hadapan pusat pentadbiran kerajaan Sabah di Menara Kinabalu, di sini, yang dilancarkan melalui laman Facebook Suara Mahasiswa UMS, baru-baru ini.

Kasim berkata, UMS mengecam tindakan kumpulan pelajar terbabit yang cuba mengajak pelajar universiti dan orang awam untuk turun bersama ke perhimpunan itu yang bukan saja boleh menyebabkan gangguan terhadap ketenteraman awam, malah turut menjejaskan imej universiti.
“UMS menyeru kumpulan pelajar terbabit agar menghentikan kempen dan usaha untuk mengadakan perhimpunan, sebaliknya beri ruang kepada pelajar universiti lain untuk fokus dalam pengajian mereka di universiti.
“Siswa-siswi juga disarankan agar tidak terikut-ikut untuk menyertai perhimpunan mahupun aktiviti yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata tiada keperluan untuk pelajar UMS mengadakan demonstrasi berkaitan isu air kerana isu itu sentiasa diikuti rapat oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Katanya, Mustapha kerap mengadakan lawatan ke UMS setiap bulan bagi meninjau perkembangan terhadap kemajuan projek berkaitan bekalan air dalam usaha memastikan bekalan air dapat disalurkan secukupnya di kampus UMS.
“UMS juga sedia maklum bahawa Kerajaan Negeri turut melakukan yang terbaik untuk menangani bekalan air khususnya di kawasan UMS dan sekitarnya,” katanya. – Info X