KOTA KINABALU: Seorang wanita warga asing dipenjara 18 bulan selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan bertaraf warganegara palsu ketika berurusan di Jabatan Insolvensi Cawangan Kota Kinabalu, di sini, pada 2019.
Tertuduh, Haninah Tanis, 48, membuat pengakuan itu ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007).
Majistret Stephanie Sherron Abbie yang mendengar pertuduhan itu kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 18 bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 Mei lalu.
Stephanie turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman penjara untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan fakta kes, pada 4 Jun 2019, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menerima satu surat rasmi daripada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Kota Kinabalu berhubung kad pengenalan digunakan tertuduh yang disyaki palsu.
Ketika itu tertuduh berdepan urusan kebankrapan di Jabatan Insolvensi.
Susulan daripada surat rasmi itu, Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu akhirnya berjaya menahan tertuduh pada jam 11 pagi, 29 Mei 2024.
Penahanan itu dibuat selepas wanita terbabit disyaki memiliki kad pengenalan bertaraf warganegara bernombor 760515-12-6246 atas nama Haninah Tanis yang palsu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Faizal Tahir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X