KOTA KINABALU: Seorang lelaki bukan warga negara mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu ketika hadir membuat pengesahan dokumen di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu pada 28 Mei lalu.
Berikutan itu, tertuduh, Herman Umar, 36, yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.
Majistret Stephanie Sherron Abbie yang mendengar pertuduhan kes itu turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman penjara untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan fakta kes, pada kira-kira jam 3 petang, 28 Mei lalu, Pegawai Penguatkuasa JPN menahan dan menangkap seorang lelaki di Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu yang disyaki memiliki kad pengenalan atas nama Herman Bin Umar yang disyaki palsu ketika hadir untuk membuat pengesahan dokumen.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau jedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X