KOTA KINABALU: Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sdn Bhd mengambil langkah awal mencegah pencemaran sungai yang mengalir di kawasan perindustrian itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata satu memorandum persefahaman (MoU) sudah ditandatangani kedua-dua pihak pada 15 Disember 2022.
Katanya, MoU itu menumpukan usaha bersama dalam mengurus alam sekitar di kawasan KKIP, melaksanakan program kesedaran alam sekitar dan pelbagai latihan.
“Inisiatif melalui MoU di antara JPAS dengan KKIP Sdn Bhd itu menunjukkan komitmen padu dan kolaborasi yang semakin mantap terhadap usaha
meningkatkan pengurusan alam sekitar dalam sektor perindustrian di Sabah.
“Antara perkara yang terlibat dalam MOU itu adalah pelaksanaan pematuhan kendiri ke atas Perjanjian Syarat-syarat Alam Sekitar dan Perisytiharan Pengurangan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 anjuran JPAS dan KKIP Sdn Bhd di Rizab Sungai Telipok, KKIP, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Murad Abdul Rashid.
Hadir sama ialah Pengarah JPAS, Vitalis Moduying.
Christina berkata, program pada hari ini adalah kesinambungan daripada Program Kesedaran Alam Sekitar Sungai Telipok yang diadakan oleh JPAS dan KKIP Sdn Bhd pada tahun lalu.
“Sejajar dengan fokus sambutan Hari Alam Sekitar 2024, program pada hari ini dilaksanakan bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan pihak industri dan juga komuniti di kawasan KKIP dan sekitarnya mengenai kepentingan alam sekitar.
“Isu pencemaran sungai, kekurangan air bersih dan kemarau boleh dikurangkan dengan melindungi sumbernya seperti sungai dan melaksanakan restorasi tanah seperti aktiviti penanaman pokok seperti yang dilaksanakan pada hari ini,” katanya. – Info X