Search

Kastam Sabah rampas enam kontena berisi minuman keras lebih RM2.7 juta

June 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah sekali lagi menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dengan merampas enam kontena berisi barang tidak bercukai itu dianggarkan bernilai lebih RM2.7 juta termasuk duti dan cukai.

Rampasan itu dilakukan oleh pasukan serbuan terdiri daripada anggota dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu, selepas dipercayai cuba diseludup masuk ke dalam negara ini melalui Pelabuhan Sepanggar, di sini, kira-kira jam 9 pagi, pada 10 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, bertindak atas maklumat, pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan ke atas 20 buah kontena.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap semua kontena itu mendapati sebanyak enam kontena berisi minuman keras yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara ini.

Mohd Nasir (kanan) ketika sidang media berkenaan kejayaan rampasan minuman keras bernilai lebih RM2.7 juta di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Jumlah keseluruhan minuman keras jenis bir pelbagai jenama berkenaan dianggarkan sebanyak 149,925.6 liter. Anggaran nilai harga adalah sebanyak RM484,788 dan anggaran duti serta cukai terbabit bernilai RM2,264,476.40.

“Jumlah keseluruhan adalah bernilai RM2,749,264.40,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, siasatan mendapati penyeludup masih menggunakan modus operandi yang sama iaitu membuat pengikraran yang tidak betul iaitu memalsukan maklumat pada dokumen sebelum menyeludup masuk minuman ke negeri ini.

Katanya, antara pengikraran barangan yang dinyatakan termasuklah perabot, pakaian, alat elektrik, perkakasan serta barangan campur lainnya.

Mohd Nasir (dua dari kiri) memeriksa kotak berisi minuman keras yang dirampas pasukan operasi di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 52 dan 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang ramai diminta supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

“Kastam juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya. – Info X