TUARAN: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) merekodkan prestasi yang konsisten membolehkannya membayar dividen interim sebanyak RM10 juta bagi Tahun Kewangan 2023 pada Mei lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia adalah satu tanda kecemerlangan PPS, sebagai antara agensi kerajaan negeri yang membayar dividen kepada kerajaan dalam penyampaian perkhidmatan mereka.
Beliau juga berpuas hati terhadap langkah dan inisiatif PPS merangka semula polisi pembiayaan sedia ada, mewujudkan produk yang sesuai untuk pelbagai golongan dan lebih banyak pusat perkhidmatan pelanggan serta pejabat bergerak.
“Saya berharap dengan adanya Pusat Perkhidmatan Pelanggan itu, perkhidmatan dan fasiliti kewangan PPS dapat memudahkan urusan dan memanfaatkan penduduk, termasuk di daerah Tuaran serta daerah yang berhampiran.
“Semua inisiatif ini adalah sejajar dengan Hala Tuju dan pemboleh daya Sabah Maju Jaya (SMJ): Kemudahan Kewangan serta Keberkesanan dan Kecekapan penyampaian perkhidmatan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Cashless Tuaran dan Pusat Perkhidmatan Pelanggan PPS Tuaran di perkarangan pejabat PPS Tuaran, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, program Cashless Tuaran adalah satu langkah yang sesuai dengan sasaran Kerajaan Digital ke arah transaksi kewangan tanpa tunai dan inisiatif yang lebih besar oleh kerajaan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Blueprint Sektor Kewangan 2022-2026, bertujuan mempercepatkan penerapan teknologi digital dan mendorong transformasi ekonomi serta kewangan di seluruh negara.

Katanya, transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat.
“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan transaksi harian, tetapi juga menyelesaikan isu kekurangan mesin ATM di kawasan luar bandar.
“Program ini juga akan meningkatkan pengurusan kewangan untuk peniaga, menyediakan peluang pembangunan perniagaan baharu, dan memperbaiki pengurusan inventori.
“Kerajaan Negeri sedang giat dalam hal itu demi kesejahteraan rakyatnya, serta membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat di bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat sejagat, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia.
Jelasnya, ia termasuk usaha untuk menyiapkan segera sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh Sabah melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Katanya, pelbagai inisiatif juga telah diumumkan seperti penggunaan Digital Signature dan Digital Certificate untuk urusan rasmi kerajaan dan penghasilan sijil-sijil, lesen atau permit oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri.
“Penggunaan Digital Signature dan Digital Certificate ini juga adalah salah satu usaha untuk mengurangkan perkhidmatan secara fizikal melalui kaunter,” katanya. – Info X