Search

Sambutan Aidiladha: Cari B40, asnaf untuk terima daging korban – Mustapha

June 17, 2024

Info X Reporters

SEPANGGAR: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud meminta jawatankuasa masjid dan surau yang melaksanakan ibadah korban supaya mencari golongan B40 dan asnaf untuk menerima agihan daging korban di kawasan masing-masing.

Beliau berkata masyarakat sekitar yang jarang atau tidak pernah menunaikan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha juga perlu diutamakan untuk menerima daging korban.

Katanya, bagi sambutan Aidiladha kali ini, Pejabat Parlimen Sepanggar mengagihkan 20 lembu dan kerbau kepada masjid dan surau di sekitar kawasan ini untuk dikorbankan dan diagihkan kepada golongan berkenaan.

“Jadi, antara konsep yang kita buat apabila kita menyumbangkan kerbau ataupun lembu ke masjid, kita akan minta jawatankuasa masjid mencari B40, asnaf dan masyarakat sekitar yang jarang atau tidak pernah menunaikan ibadah korban.

“Kita mahu membantu masyarakat, insan-insan ini supaya mereka juga dapat merasai bagaimna ibadah korban dan hikmah korban itu sendiri dalam kehidupan.

“Ini antara agenda kita di Pejabat Parlimen dan saya ucap terima kasih kepada Masjid al-Ikhwan kerana telah sudi untuk mengadakan program dan kita juga menjemput masyarakat sekitar untuk kita sama-sama merayakan Hari Raya Aidiladha,” katanya pada program ibadah korban sempena Aidiladha di Masjid al-Ikhwan Taman Kuala Manggatal, di sini, hari ini.

Masjid berkenaan menerima seekor kerbau daripada Pejabat Parlimen Sepanggar yang dikorbankan hari ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Sementara itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan harapannya agar masyarakat Islam terutama di Parlimen Sepanggar dapat melaksanakan ibadah korban dengan penuh harmoni.

“Kita juga menggalakkan supaya masyarakat bukan Islam juga sama-sama dengan kita merayakan hari raya ini dan kita kekalkan hidup berharmoni.

“Kita juga doakan kepada semua jemaah haji kita yang berada di Tanah Suci supaya sihat walafiat dan kembali dengan selamat ke tanah air dalam masa terdekat,” katanya. – Info X