KOTA KINABALU: Sabah Electricty Sdn Bhd (SESB) kini dalam proses melaksanakan penggunaan Meter Pintar atau (Smart Meter) bagi merekodkan jumlah penggunaan elektrik di setiap premis dan kediaman.
Pengerusinya, Datuk Seri Madius Tangau, berkata bagi tujuan itu, SESB membuka tender mempelawa syarikat yang berkelayakan untuk menjayakan inisiatif berkenaan.
“Tender telah dibuka pada 16 April 2024 dan ditutup pada 12 Jun lalu. Pada ketika ini, ia sedang dalam proses analisa tender sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Tender Pengurusan dan seterusnya ke Jawatankuasa Perolehan dan Kewangan Lembaga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau mengulas saranan Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan berhubung penggunaan meter pintar.
Madius berkata, saranan David agar pihak kerajaan menggunakan meter pintar adalah wajar kerana ia mempunyai pelbagai manfaat dan kelebihan berbanding penggunaan meter konvensional.
“Saya ingin memaklumkan bahawa pihak SESB pun sememangnya sedang ke arah itu dan diharapkan segala proses yang sedang dilaksanakan berjalan dengan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran turut mengalakkan orang ramai danpengguna untuk memuat turun dan mendaftar aplikasi mySESB di telefon bimbit masing-masing.
“Melalui aplikasi ini, pelbagai perkhidmatan boleh dilaksanakan hanya daripada hujung jari sahaja.
“Antaranya, mendapat akses penyata bil terkini selain boleh membuat pembayaran bil secara terus ke sistem SESB tanpa perlu menunggu tiga hari bekerja seperti cara pembayaran yang lain.
“Pengguna juga boleh mendapatkan info semasa berkaitan penyelenggaraan di sesuatu kawasan, boleh menyalurkan aduan dan menyemak status tindakan, membuat permohonan meter baharu dan pelbagai lagi,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan mySESB adalah satu inisiatif bagi memudahkan pelanggan untuk berurusan tanpa perlu hadir berbaris panjang atau bersesak di kaunter atau Kiosk SESB.
“Namun, buat masa ini, daripada 696,711 pengguna SESB, baru 112,835 orang yang telah mendaftar.
“Untuk itu, kita harapkan agar lebih ramai yang mendaftar di mySESB agar sebarang urusan orang ramai dengan SESB dapat diselesaikan dengan lebih fleksibel, mudah, cepat dan pantas,” katanya. – Info X