TUARAN: Kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran hari ini ketika hubungan dingin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan UMNO Sabah menarik perhatian pemerhati politik.
Lebih menarik majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui terpaksa melakukan istikarah sebelum memutuskan untuk hadir.
Hajiji selaku Pengerusi GRS dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) ditemani Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew.
Kehadiran Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman adalah atas undangan UMNO Bahagian Tuaran yang diketuai Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata UMNO mengambil pendirian yang jelas berhubung kepentingan kebersamaan dalam perjuangannya dengan parti atau organisasi lain bagi memastikan kestabilan politik Kerajaan Perpaduan, khususnya di Sabah.

Atas sebab itu, katanya beliau memilih untuk hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran walaupun ada pihak dalam parti memintanya menilai semula berikutan kehadiran Hajiji selaku Pengerusi GRS bersama kepemimpinannya dan PH Sabah.
“Walaupun saya tahu ada di kalangan rakan-rakan yang memberikan pandangan bahawa saya harus menilai semula keputusan untuk datang merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran kerana keberadaan Ketua Menteri Sabah, rakan-rakan dalam GRS dan juga pemimpin dari PH.
“Itu nasihat kawan-kawan, namun saya melakukan istikarah, siapapun yang datang, ini adalah kawan-kawan saya dan saya mengambil risiko untuk datang ke Tuaran ini bukan bererti kita meninggalkan mana-mana kawan.
“Bagi saya soal musuh kamu, itu hal kamu, sahabat kamu adalah sahabat saya juga. Untuk itu, maka kebersamaan kita dalam perjuangan, sama ada parti atau mana-mana organisasi kesukarelawanan, pendirian kita harus jelas.
“Di sana memang ada musuh menanti, tapi kita harus ingat bahawa tidak ada rakan yang kalah dan tidak ada musuh tetap kalah tetapi kita tahu bahawa politik adalah sesuatu yang sangat dinamik.
“Dulu kawan, sekarang musuh, sekarang musuh yang akan datang mungkin akan jadi kawan kerana politik itu dinamik. Apa yang penting ialah kestabilan politik harus jadi tajuk utama kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan khususnya di Sabah,” katanya.
Kehadiran Hajiji pada majlis itu mendapat perhatian berikutan hubungan dingin beliau dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas UMNO Sabah pada awal tahun lalu menyatakan hilang kepercayaan terhadapnya dan kerajaan pimpinan GRS. – Info X