KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan berlaku perpecahan dalam kalangan pemimpin parti itu selepas beliau tidak hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran, semalam.
Katanya, ketidakhadiran beliau pada mesyuarat yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu tidak menggambarkan perpecahan UMNO Sabah.
“Ketidakhadiran saya tidak memberikan gambaran yang UMNO Sabah mula berpecah, secara kebetulan majlis itu bertembung dengan tugasan lain yang sudah dijadualkan lebih awal menyebabkan saya tidak dapat hadir,” katanya dalam satu kenyataan.
Bung Moktar menangkis dakwaan beberapa pihak yang kononnya UMNO Sabah berpecah disebabkan ketidakhadiranya pada majlis itu, selain ada juga membuat spekulasi mengaitkan perkembangan itu dengan kemungkinan beliau bakal digugurkan sebagai Ketua UMNO Sabah.
Pada perasmian mesyuarat itu semalam, hanya Timbalan Ketua UMNO Sabah selaku Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang hadir, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku pemimpin UMNO Sabah.
Ketidakhadiran Bung Moktar menimbulkan spekulasi mengenai wujud ketidaksefahaman beliau dengan Abdul Rahman yang diterjemahkan sebagai perpecahan dalam UMNO Sabah, lebih-lebih lagi UMNO Tuaran turut menjemput Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghadiri majlis itu.
Bung Moktar yang juga ADUN Lamag bagaimanapun hadir pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Sepanggar dan UMNO Papar yang turut dirasmikan Ahmad Zahid selepas majlis di Tuaran, semalam, selain UMNO Kimanis di Bongawan pada hari ini.
Beliau menyifatkan dakwaan terhadap beliau dan kedudukan UMNO Sabah itu sebagai fitnah kerana cemburu dan takut dengan kekuatan serta kesatuan yang ditunjukkan ahli UMNO di Sabah.
Katanya, ia bukan perkara baharu, sebaliknya isu berkenaan sengaja dimainkan pihak lawan bagi mengekang kemaraan UMNO, khususnya dalam usaha parti itu memperkukuhkan kekuatan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Begeri (PRN) akan datang. – Info X