KOTA KINABALU: Seorang lelaki tidak sempat tiba untuk tinggal bersama menantunya di Bongawan apabila meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Sandakan, pagi tadi.
Mangsa yang dibawa menantu lelakinya dengan menaiki sebuah van dilaporkan meninggal dunia ketika berada di laluan antara Kundasang dan Tamparuli.
Lebih malang, van dipandu menantunya dilaporkan mengalami kerosakan brek menyebabkan kenderaan itu tersadai di tepi jalan dan terpaksa menunggu bantuan ahli keluarga dari Bongawan.
Ketika tersadai, menantu mangsa meminta bantuan sesiapa yang dapat datang ke lokasi mereka tersadai melalui Facebook Live menggunakan akaun Facebook Mohd Ariff Ahmad.
Dalam siaran langsung itu, menantu mangsa berharap jika ada van jenazah lalu di laluan berkenaan atau berada berdekatan dapat membantu membawa jenazah mentuanya.
Menantunya sedih dan pilu apabila selama kira-kira 40 minit bersiaran tiada siapa yang datang ke lokasi tempat mereka tersadai yang terletak berdekatan simpang Jalan Bypass Ranau-Kota Belud. – Info X