Search

Penjawat awam berdepan tindakan tegas jika langgar integriti

June 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri dinasihatkan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti yang menjejaskan kredibiliti selaras peraturan ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS).

Ketua Pengarahnya, Datuk Zainudin Aman berkata, tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat anggota perkhidmatan awam negeri didapati melakukan kesalahan yang melanggar integriti.

“Sekiranya ada anggota perkhidmatan awam yang terlibat dalam apa juga salah laku, kita meminta kepada kementerian dan jabatan berkaitan untuk melihat aduan-aduan yang dilaporkan.

“Selepas itu, tindakan haruslah diambil selaras dengan peraturan-peraturan dalam perkhidmatan awam.

“Secara umumnya, kita selaku anggota perkhidmatan awam mempunyai disiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.

“Oleh itu, semua anggota perkhidmatan awam berkewajipan memastikan mereka melaksanakan peranan tugas dan tanggungjawab mengikut disiplin yang telah di tetapkan oleh kerajaan.

“Mereka tidak boleh melakukan apa sahaja perkara yang bercanggah dengan peraturan kerana budaya kerja berintegriti sangat penting dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Zainudin meninjau kemudahan di Cheshire Home Likas pada program Khidmat Masyarakat (CSR) Sempena Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam 2024.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat (CSR) Sempena Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam 2024 di Cheshire Home Likas, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Rosalind @ Roslina Bumpin.

Sementara itu, ditanya mengenai wujudnya dakwaan terdapat penjawat awam Sabah dipercayai bersubahat dengan sindiket penipuan kehilangan wang dalam akaun pelanggan salah sebuah bank tempatan, baru-baru ini, Zainudin enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, satu tangkapan baharu dilaporkan baru-baru ini, membabitkan sindiket kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.

Suspek seorang wanita berusia 40-an yang juga penjawat awam antara yang disyaki terjerat dengan salah seorang suspek yang juga tunangnya dalam sindiket terbabit. – Info X