Search

Pemimpin, ahli perniagaan Cina sertai KDM di Keningau

June 26, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) kini sudah mula mengorak langkah mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Selepas parti pimpinan Datuk Peter Anthony itu mengumumkan akan bertanding di semua kawasan majoriti Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) minggu lalu, parti itu, semalam, menerima kemasukan ahli perniagaan berjaya di sini dan Tenom.

Dua individu berkenaan ialah pemilik Chin’s Orchard Farm iaitu Chin Hon Shu dan pemilik Yong Farmstay, Datuk Yong Oi Kiong.

Peter (empat dari kiri) menyampaikan surat pelantikan sebagai AMT KDM kepada Yong.

Dalam satu majlis santai di Chin’s Orchard Farm, Peter turut mengumumkan Yong yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Hakka Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) KDM.

Selain itu, Chin juga dilantik sebagai Ketua Bahagian KDM di Keningau.

Peter (empat dari kiri) menyampaikan surat pelantikan sebagai Ketua Bahagian KDM Keningau kepada Chin.

Peter berkata, penyertaan kedua-dua ahli perniagaan berjaya itu membuktikan KDM semakin diterima oleh masyarakat, bukan sahaja daripada kaum KDM tetapi semua golongan masyarakat termasuk Cina.

“Saya gembira KDM semakin diterima baik oleh rakyat dan pada hari ini (semalam), seorang pemimpin masyarakat Hakka di peringkat negeri telah menyertai kita untuk sama-sama berjuang demi rakyat.

“Sebelum ini juga beberapa pemimpin masyarakat juga telah menghubungi dan berjumpa dengan saya untuk menyatakan hasrat menyertai parti ini.

“Saya yakin KDM berada di landasan yang betul dalam perjuangan kami untuk membantu dan menyejahterakan rakyat di negeri ini,” katanya.

Peter (tengah) bersama Yong dan Chin serta pemimpian parti itu yang hadir pada majlis santai di Chin’s Orchard Farm, Keningau, semalam.

Sementara itu, Chin dalam ucapannya berkata, beliau menyertai KDM kerana menganggap parti itu ikhlas dalam perjuangannya membantu rakyat.

Katanya, beliau yakin parti berkenaan mampu menyinar di Keningau seterusnya membawa lebih banyak pembangunan kepada daerah berkenaan.

“Presiden parti (Peter) juga sangat prihatin dan suka membantu orang, kita lihat sahaja sumbangan-sumbangannya kepada komuniti dan sekolah-sekolah Cina di Tenom, sebab itu ramai orang di Melalap sayang beliau.

“Saya bertekad, dengan tanggungjawab yang diberikan sebagai Ketua Bahagian, kami akan pastikan KDM akan mempunyai kerusi di Keningau seterusnya mengubah Keningau menjadi sebuah daerah yang lebih maju.

“Komuniti dan sekolah-sekolah Cina di Keningau juga perlukan bantuan dan saya tidak nampak ada wakil-wakil rakyat di Keningau yang tampil memberi perhatian, ianya berbeza sekali dengan sumbangan yang dicurahkan Datuk Peter di Tenom,” katanya.

Turut hadir pada majlis santai semalam ialah Naib-naib Presiden KDM, Henry Saimpon, Dr Oswald Aisat Igau, dan Dr Gaim James Lunkapis, Setiausaha Agung KDM, Willie Jude dan beberapa AMT parti itu. – Info X