KOTA KINABALU: Sabah Shell Petroleum Company Ltd (SSPC) menganugerahkan dua kontrak berasingan kepada dua syarikat berpangkalan di Sabah berkaitan operasi minyak dan gas laut dalam di negeri ini.
Pemberian kontrak itu direalisasikan menerusi majlis menandatangani kontrak di antara SSPC dengan kedua-dua syarikat terbabit pada pembukaan Pameran dan Persidangan Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SODCE) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Salah satu syarikat yang menandatangani kontrak itu ialah SAZMA Aviation iaitu untuk perkhidmatan helikopter luar pesisir bagi membawa pekerja ke lokasi operasi minyak dan gas.
Perjanjian bagi pihak syarikat itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rodney Pinus dengan disaksikan Pengerusinya, Datuk Hassan A Gani Pg Amir.
Penandatangan di pihak SSPC pula diwakili Pengurus Besarnya, Wong Kim Mun.
Majlis berkenaan disaksikan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd dan Pengerusi Shell Malaysia, Siti Sulaiman. – Info X