KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini memberi penjelasan mengenai kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Tuaran oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu.
Ketua UMNO Tuaran itu berkata, keputusan menjemput Ketua Menteri Sabah itu dibuat UMNO Tuaran atas dasar menghormati formasi kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.
Jelasnya, beberapa minggu sebelum membuat keputusan untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Tuaran, Ahmad Zahid sudah sedia maklum mengenai kehadiran Hajiji dan rombongan sebagai jemputan khas ke majlis berkenaan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO kerana masih meneruskan hasrat beliau untuk merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Tuaran walaupun beliau mendedahkan ada sesetengah pihak yang menasihati beliau untuk tidak hadir.
“Selalunya ucapan perasmian dalam mesyuarat perwakilan bahagian dibuat secara terbuka, bukan tertutup. Semua orang akan mengetahui apa yang diucap oleh perasmi. Strategi politik sudah tentu tidak akan didedahkan dalam ucapan perasmian dalam majlis terbuka seperti itu.
“Siapa yang UMNO Tuaran jemput untuk hadir di mesyuarat UMNO Tuaran itu adalah hak UMNO Tuaran. Lagipun UMNO Tuaran tidak pernah membantah kehadiran pemimpin-pemimpin UMNO Sabah dalam majlis-majlis anjuran parti lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain Hajiji, majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Tuaran Sabtu lalu turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Christina Liew; Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kehadiran Hajiji pada majlis itu menarik perhatian pemerhati politik Sabah berikutan hubungan dingin beliau dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang pada awal tahun lalu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Hajiji dan kerajaan GRS pimpinannya.
Bung Moktar sebelum ini dilaporkan berkata jemputan Ketua Menteri Sabah ke majlis UMNO di Tuaran itu adalah satu kesilapan yang dilakukan Abdul Rahman.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata tidak timbul soal dua nakhoda dalam UMNO Sabah dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengganggu pentadbiran UMNO Sabah selain tidak pernah menjadikan kedudukannya sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah sabagai penghalang kepada usaha untuk memperkasakan UMNO Sabah.
“Cuma sebagai orang yang bertanggungjawab mencadangkan ‘Autonomi UMNO Sabah’ kepada Presiden UMNO pada 2018, saya hanya mahukan supaya semua kepemimpinan tertinggi UMNO Sabah dibawa berbincang apabila ada keputusan besar dibuat mengenai masa depan UMNO Sabah kerana menjaga masa depan UMNO Sabah ini adalah tanggungjawab bersama semua kepemimpinan UMNO Sabah.
“Saya sebenarnya tidak berminat untuk menceritakan soal dalaman UMNO Sabah secara terbuka melalui media tetapi saya akan memberi respon secara berfakta dan terbuka jika ada pihak-pihak yang membuat kenyataan mengelirukan secara terbuka yang tidak mengambarkan realiti sebenar,” katanya.
Isu dua nakhoda itu antara lain dikaitkan dengan dirinya yang dilihat tidak sehaluan dengan Bung Moktar dalam mengemudi UMNO Sabah.
Bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu turut mempersoalkan tindakan kepemimpinan UMNO Sabah sendiri mengenai kenyataan bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang walaupun belum ada ketetapan rasmi mengenainya.
“Sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah dan ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya boleh sahkan bahawa UMNO Malaysia atau UMNO Sabah belum lagi bermesyuarat atau berbincang walau sekalipun untuk menentukan secara rasmi dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama.
“Maka arahan Presiden UMNO sejak tahun lalu ialah kepemimpinan UMNO Sabah tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama dalam PRN akan datang sebelum keputusan rasmi dibuat.
“Malangnya arahan Presiden UMNO itu tidak diendahkan. Kenyataan demi kenyataan dibuat kononnya UMNO Sabah akan bekerja sama dengan Warisan sedangkan kepemimpinan UMNO belum membuat sebarang ketetapan rasmi dan UMNO Sabah sendiri belumpun bermesyuarat mengenai isu ini,” katanya. – Info X