SANDAKAN: Sepasang pesakit yang ditahan di wad Hospital Duchess Of Kent (HDOK), di sini, selamat diijab kabul dengan disaksikan doktor dan jururawat serta ahli keluarga terdekat pasangan berkenaan, semalam.
Peristiwa bersejarah kepada pasangan yang dikenali sebagai Alif dan Siti itu dikongsikan di laman Facebook rasmi HDOK, menyatakan ucapan tahniah atas pernikahan mereka.
“Ucapan Tahniah dan Selamat Pengantin Baharu kepada En Alif dan Puan Siti yang telah selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri di Wad Ortopedik Lelaki pada hari ini (28.06.2024).

“Majlis akad nikah ini telah dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan terdekat pasangan mempelai serta Kakitangan HDOK. Sungguhpun majlis ini berlangsung secara sederhana, namun kebahagiaan pasangan ini boleh dilihat di muka mereka serta ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir bersama.
“Pihak Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga HDOK mengucapkan Selamat Pengantin Baharu dan semoga proses perawatan pasangan ini dipermudahkan dan semoga cepat sembuh. Tahniah!,” katanya.

Majlis yang pertama kali diadakan di wad HDOK itu menarik perhatian netizen yang turut sama mengucapkan tahniah atas pernikahan mereka. – Info X