KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menawarkan imbuhan kepada orang ramai yang tampil memberi maklumat berkaitan perbuatan mengusik pepasangan miliknya untuk mencuri elektrik di negeri ini dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata SESB meluluskan dasar pemberian imbuhan kepada pemberi maklumat bagi Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) dan Sambungan Elektrik Tidak Sah (SETS).
Katanya, imbuhan sebanyak satu peratus daripada jumlah kerugian hasil yang dialami SESB dalam kes KUPM atau SETS akan diberikan kepada pemberi maklumat.
“Pemberi maklumat boleh menghubungi Pengurus Zon atau Kawasan SESB untuk melaporkan kejadian KUPM dan SETS atau menghubungi 088-282782, 088-282779 atau 088-282778.
“Selain itu, SESB turut menguatkuasakan penggunaan kad kuasa kepada pekerja SESB bagi memastikan hanya pekerja SESB yang sah sahaja boleh mencapai pepasangan meter SESB di premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata tawaran yang diberikan SESB itu sejajar usaha syarikat utiliti itu membanteras perbuatan mengusik pepasangan miliknya yang semakin berleluasa.
Katanya, kes usikan pepasangan yang membabitkan meter elektrik dan kecurian kabel elektrik milik SESB adalah satu kesalahan yang perlu diambil perhatian oleh masyarakat khususnya pengguna SESB.
“Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan saja menyebabkan SESB kerugian jutaan ringgit tetapi juga boleh mengundang bahaya kepada pelakunya.
“SESB tidak akan berkompromi terhadap kes membabitkan penggunaan elektrik secara curang atau melakukan usikan ke atas kabel elektrik milik SESB sebaliknya kita akan menuntut ganti rugi melalui perintah mahkamah,” katanya.
Jelasnya, dalam kes seperti itu, SESB akan mengeluarkan surat tuntutan kerugian dan membawa kes ke mahkamah bagi menuntut pengguna yang didapati menggunakan elektrik secara curang untuk mendapatkan ganti rugi.
Katanya, setakat ini beberapa kes sudah dibawa ke mahkamah dan diputuskan hukuman, antaranya pada 28 Mei lalu, seorang pengarah syarikat didenda RM25,000 atau penjara lima bulan kerana secara tidak jujur menghalang meter SESB merekodkan penggunaan elektrik premisnya.
Selain itu, katanya Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 21 Jun lalu turut menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas seorang lelaki kerana memotong kabel SESB di kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah atas kesalahan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Mohd Yaakob berkata, beberapa kes lagi akan dibawa ke mahkamah bagi tuntutan ganti rugi menerusi kerjasama Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, perbuatan mengusik atau mengubah suai meter elektrik adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 di Sabah atau Akta Bekalan Elektrik 1990 di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Bekalan Elektrik 2024, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau perjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, manakala Akta Bekalan Elektrik 1990 pindaan 2016 menetapkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih seahun atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan boleh dikenakan di bawah peruntukan Sub-seksyen 61(1), 61(3) dan 61(9) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 atau Sub-seksyen 37(1),37(3) dan 37(14) dan kesalahan boleh didenda atau dipenjara, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, Pindaan 2016, pengguna di bawah kategori domestik yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 atau tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024, pengguna kategori domestik yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM 1,000 atau tidak lebih RM100,000, atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kategori komersil, pengguna yang didapati bersalah kali pertama boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 atau tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata SESB membuat pemeriksaan secara berkala bagi mengenal pasti pemilik akaun, khususnya premis perniagaan yang memasang sebarang alatan mengusik meter elektrik bagi mengelak penggunaan sebenar direkodkan oleh SESB.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mencuba memasang sebarang alatan mengusik meter kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada SESB, tetapi juga boleh membahayakan nyawa. – Info X