PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyumbang RM30,000 untuk menyediakan 300 bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir di daerah ini.
Beliau berkata, jumlah itu sebagai tambahan kepada 200 bakul makanan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang.
“Saya meminta Pusat Khidmat saya menyediakan tambahan 300 bakul makanan melibatkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk dihantar ke rumah-rumah yang memerlukan bantuan dan penghantaran akan diselaraskan oleh jawatankuasa bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, di sini, hari ini.
Dalam lawatan Ewon ke PPS itu semalam, beliau menyampaikan bantuan segera RM20,000 kepada JPBD untuk keperluan berkaitan operasi menyelamat dan PPS.
Selain itu, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada SM St Micheal, Penampang untuk pembaikpulihan dan pembersihan kawasan sekolah yang dilanda banjir.
“Selepas melawat mangsa banjir di PPS, saya meluangkan masa melawat sekolah lama saya, SM St Michael dan berjumpa dengan Pengetua dan guru-guru. Saya menyumbangkan RM20,000 untuk pembersihan dan pembaikpulihan kawasan sekolah ini,” katanya.
Kemudiannya, Ewon melawat beberapa rumah penduduk kampung yang tidak sempat berpindah semalam dan melihat sendiri keadaan kerosakan akibat banjir terutama barangan dalam rumah.
“Mereka mengatakan ini adalah bencana banjir terburuk selepas kejadian banjir tahun 1999,” katanya yang menaiki kenderaan Kelab 4×4 WRS meninjau beberapa jalan di Penampang yang masih ditenggelami air.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang meluangkan masa melawat PPS dan beberapa kampung lain, seterusnya menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap isi rumah yang dipindahkan ke PPS.
“Ketua Menteri juga bersetuju menyalurkan peruntukan membekalkan kelengkapan dapur gas kepada keluarga yang tidak sempat berpindah. Ini akan diselaraskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Penampang,” katanya.
Mengenai bekalan elektrik di Poliklinik Penampang, Ewon berkata, SESB telah diminta menghantar set janakuasa ke Poliklinik itu bagi memulihkan kembali bekalan elektrik.
“Dalam tinjauan sehari saya di kawasan Penampang, saya mendapati masih banyak rumah yang terputus bekalan air dan elektrik.
“Stesen pam air Kasigui belum boleh membekalkan air pada ketika ini. Begitu juga beberapa pencawang elektrik SESB yang belum pulih.
“Pejabat Daerah dan jabatan-jabatan teknikal berkaitan akan menilai kerosakan infra-infra berkenaan akibat banjir,” katanya.
Ewon menghargai kerjasama semua pihak termasuk pimpinan kerajaan negeri, agensi, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) atas semangat kerja berpasukan membantu mangsa banjir di Penampang. – Info X