Search

Pembaikan jambatan Kampung Bawang akan disegerakan – Jahid Jahim

July 3, 2024

Info X Reporters

TAMPARULI: Kerja pembaikan jambatan Kampung Bawang, di sini, yang rosak dilanda arus deras ketika banjir Ahad lalu akan disegerakan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim ketika meninjau kerosakan jambatan terbabit, semalam.

“Saya telah mendengar keluhan penduduk di Kampung Bawang dan kita telah meminta agar proses pembaikan jambatan ini disegerakan,” katanya.

Turut serta ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Herman Tunggiging; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.

Jambatan berkenaan menghubungkan laluan penduduk dari tujuh kampung, di sini, iaitu Bawang, Kiwoi, Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan dan Rangalau Lama.

Jahid melawat mangsa banjir di Balai Raya Kampung Bontoi, Tamparuli.

Selain itu, ia turut menghubungkan laluan ke empat sekolah di sini, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, SK Togop, SK Lingga dan SK Rangalau Lama.

Terdahulu, Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli turut melawat mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Bontoi, di sini.

PPS berkenaan menempatkan seramai 18 mangsa daripada lima keluarga berikutan banjir yang melanda sejak petang Ahad akibat hujan lebat berterusan.

Jahid berkata hujan berterusan itu menjejaskan beberapa kampung di sekitar daerah kecil ini. – Info X

Pix – Jahid meninjau keadaan jambatan Kampung Bawang yang musnah akibat arus deras banjir.