KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM7,000 atau penjara 60 hari jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah memuat naik tuduhan mengaibkan di akaun Facebook pada Oktober tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim terhadap Lim Tzen Thau, 31, pada prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Berdasarkan fakta kes, pada 15 Oktober tahun lalu, tertuduh didakwa memuat naik tuduhan mengaibkan yang ditujukan kepada Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah, Phan Chee Yong.
Berikutan itu, Chee Yong selaku pengadu membuat laporan polis pada 17 Oktober tahun lalu meminta pihak polis menyiasat tuduhan yang dimuat naik tertuduh di akaun Facebooknya.
Susulan daripada itu, satu kertas pertuduhan mengikut Seksyen 232 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dikeluarkan terhadap tertuduh dan pendakwaan dilakukan hari ini.
Seksyen berkenaan menetapkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari jika mengulangi kesalahan yang sama selepas pensabitan.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda RM7,000 yang diperintahkan hakim.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azizi Hamil, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X