KOTA KINABALU: Sabah FC gagal bangkit daripada kekalahan 4-0 di Kuala Terengganu minggu lalu apabila tewas lagi 3-0 dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Likas, malam ini.
Kekalahan itu sekali gus menamatkan misi Sabah dalam Piala FA musim ini, sebaliknyaTerengganu berjaya mara selepas mengatasi Sang Badak dengan agregat 7-0.
Pasukan lawan itu sememangnya membawa bekal yang selesa ke Likas, berbanding Sabah yang perlu bekerja keras mencipta sebanyak mungkin jaringan jika mahu meneruskan aksi ke peringkat seterusnya.
Situasi itu sudah pasti menyukarkan peluang Sabah FC, malah dikecewakan lagi apabila pasukan lawan berjaya mencipta gol awal menerusi Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-10.
Meskipun Sabah berusaha mengubah kedudukan menerusi beberapa cubaan mereka, namun serangan yang agak tumpul selain mudah dipatahkan pasukan lawan menggagalkan misi Sang Badak.
Sebaliknya, Terengganu melebarkan lagi agregat kemenangan mereka apabila Muhamnad Akhyar Abdul Rashid menyumbang gol kedua pasukannya pada minit ke-42 sekali gus mendahului perlawanan dengan 2-0 pada separuh masa pertama.
Beralih ke babak kedua, Sabah cuba bangkit sejurus perlawanan bersambung untuk mendapatkan gol bagi sekurang-kurangnya merapatkan jurang agregat, namun tidak juga berhasil.
Selain kekebalan pertahanan Sang Penyu, kecekapan penjaga gol Terengganu, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin juga menjadi punca beberapa cubaan Sang Badak dapat dihalang dengan baik daripada terlepas ke dalam gawang.
Penyerang import Sabah, Ramon Machado yang akan meninggalkan pasukan selepas perlawanan malam ini juga tidak berpeluang mencipta gol walaupun mendapat beberapa hantaran menarik daripada rakan sepasukan.
Sebaliknya, Terengganu berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma penyerangnya, Marin Pilj.
Gol itu membolehkan pasukan pelawat mencatat kemenangan 3-0, sekali gus melayakkan Terengganu meneruskan aksi ke separuh akhir Piala FA 2024 dengan mengumpul agregat 7-0 ke atas Sabah. – Info X