KOTA KINABALU: Datuk Ong Kim Swee mengakui kegagalan anak buahnya menterjemah peluang kepada jaringan menjadi punca Sabah tewas lagi di tangan Terengganu FC dalam aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Likas, malam tadi.
Pengendali Sabah FC itu berkata, skuad Sang Badak tidak dapat menyempurnakan peluang yang diperolehi, berbeza dengan Terengganu yang berjaya memanfaatkan peluang dengan baik hingga menewaskan tuan rumah 3-0.
“Kita tidak dapat menyempurnakan peluang yang ada berbanding Terengganu yang berjaya mengambil peluang dengan begitu baik apabila kita dibolosi dua gol pada separuh masa pertama.
“Ini sudah tentu menyukarkan keadaan, namun kita cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi perkara sama juga berlaku, peluang-peluang terhidang tetapi tidak dapat diterjemahkan kepada gol.
“Sebaliknya, ia memberi peluang kepada Terengganu untuk menambah gol ketiga mereka pada separuh masa kedua,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.
Dalam aksi malam tadi, Sabah tewas 3-0 hasil jaringan tiga tonggak utama Terengganu, masing-masing menerusi Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-10, diikuti Muhamnad Akhyar Abdul Rashid (minit 42) dan penyerang importnya, Marin Pilj (minit 86).
Kemenangan itu membolehkan Terengganu mengumpul agregat 7-0 untuk layak ke separuh akhir selepas memenangi kedua-dua perlawanan suku akhir termasuk kemenangan 4-0 di Kuala Terengganu pada aksi pertama minggu lalu.
Sementara itu, Kim Swee berkata Sabah FC perlu bangkit dan mempelajari dua kekalahan dalam aksi suku akhir Piala FA itu untuk meneruskan saingan dalam Liga Super yang bersambung semula minggu depan menerusi pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Kita harus bangkit di sini, di mana kita harus tahu yang jadual perlawanan ataupun liga masih lagi baru bermula dan apa yang kita pelajari daripada dua perlawanan ini amat penting untuk kita perbaiki bagi menghadapi JDT selepas ini dan perlawanan seterusnya,” katanya.
Mengenai Ramon Machado yang tidak lagi bersama pasukan Sabah selepas ini, Kim Swee tidak menolak kemungkinan ketiadaan penyerang berumur 33 tahun itu boleh menyebabkan serangan Sang Badak tumpul.
“Sudah tentu tiada jurulatih yang ingin kehilangan penyerang terbaik dan sudah pasti ketiadaan Ramon menumpulkan sedikit bahagian serangan pasukan.
“Tapi, pada masa yang sama ia memberi peluang kepada pemain lain untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Sabah FC,” katanya. – Info X