PAPAR: Kerajaan negeri mengambil pendekatan bersifat agresif bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan terbabit.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) menawarkan pekerjaan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) atau ahli isi rumah miskin tegar.
Katanya, pendekatan itu dilaksanakan menerusi pembabitan beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta di negeri ini.
Jelasnya, langkah positif yang disifatkannya sebagai suatu proses penghijrahan itu berjaya mengurangkan kadar miskin tegar daripada 22,510 KIR kepada hanya 5,379 KIR miskin tegar ketika ini.
“Kerajaan Negeri bertekad untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Pendekatan bersifat agresif ini akan terus kita lakukan bagi menoktahkan isu miskin tegar di Sabah, insyaAllah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri 1446H/2024M yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Masyarakat Papar, di sini.
Sementara itu, Hajiji berkata, ketibaan tahun baharu Hijrah yang diiringi dengan sambutan Maal Hijrah diharap mampu menyemarakkan lagi semangat juang dan menggilap cita-cita dalam jiwa semua umat Islam.
“Bukan sahaja dalam mengejar impian dan harapan tetapi juga dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan selaku anggota masyarakat, terutama sebagai anggota dalam perkhidmatan awam yang berperanan sebagai penggerak dan pelaksana program pembangunan negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata, kisah-kisah dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW wajar dijadikan sebagai iktibar, sumber inspirasi, dihayati dan dicontohi bersama oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan.
Katanya, sentiasa bermuhasabah diri wajar menjadi rutin kehidupan setiap Muslim untuk menanamkan rasa keinsafan dalam diri masing-masing, mempertingkatkan amalan dan kewajipan kepada Allah SWT, di samping memelihara hubungan baik sesama insan.
Menurutnya, amalan dan kewajipan itu perlu dilakukan secara berterusan agar umat Islam tidak terus hanyut dibuai mimpi, tiada daya dan upaya untuk mencipta kejayaan, malah terdedah kepada kelemahan dan perpecahan yang tidak berkesudahan.
“Natijahnya, kita bukan sahaja kurang berdaya saing untuk mencipta perubahan dan melakar kemajuan, malah kita akan terus diancam oleh situasi yang merugikan.
“Justeru, dalam mendepani dunia yang serba mencabar dewasa ini, kita sebagai ummah seharusnya lebih kuat dan berani mendepani apa jua situasi yang mendatang.
“Kerana dengan kekuatan dan keberanian itu, kita tidak mudah dikotak-katikkan, dipengaruhi dan diadu domba. Generasi muda yang bakal mewarisi pimpinan negeri dan negara, harus terus melakukan yang terbaik sebagai warga yang menjunjung tuntutan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata, semangat dan peristiwa hijrah yang sebenar tetap menjadi paduan dan pedoman kepada seluruh ummah, walaupun telah berlalu lebih seribu tahun.
Mengenai sambutan Maal Hijrah tahun ini, Hajiji berkata, tema yang dipilih, ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ bertujuan mengajak umat Islam untuk terus bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan dan kesejahteraan dalam kehidupan.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat agar memberikan komitmen setulusnya bagi menjayakan pembangunan negeri ini dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan persamaan yang dikongsi bersama selama ini.
“Pupuklah semangat kekitaan, eratkan persaudaraan, bersama kita berusaha, ramai-ramai kita bekerja demi menjayakan misi dan visi Malaysia Madani serta Hala Tuju SMJ ke arah Negeri Sabah yang makmur dan sejahtera”, katanya.
Pada sambutan Maal Hijrah kali ini, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1446H / 2024M peringkat negeri Sabah. – Info X