Search

2,300 keluarga dikenal pasti terjejas banjir di Penampang

July 7, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seramai 2,300 ketua isi rumah (KIR) atau keluarga dikenal pasti terjejas akibat musibah banjir di 16 kampung di daerah ini pada minggu lalu.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, berkata jumlah itu berdasarkan laporan Pegawai Daerah Penampang yang diperolehinya pada Jumaat lalu.

Katanya, usaha mengenal pasti jika ada lagi mangsa yang belum direkodkan masih diteruskan bagi memudahkan penyaluran bantuan sewajarnya kepada semua mangsa.

“Saya percaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masih membuat pengesahan dengan semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Penampang yang terbabit banjir untuk kita melihat jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka,” katanya ditemui selepas merasmikan Galeri Jualan dan Pelancaran Sky88 Residences Bundusan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Koperasi dan Usahawan, berkata jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baru-baru ini tidak menggambarkan jumlah sebenar mangsa yang terkesan akibat banjir.

“Ini kerana ramai yang terperangkap di rumah dan tidak dapat dipindahkan oleh anggota keselamatan pada malam kejadian banjir.

“Saya sudah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS tidak menggambarkan jumlah sebenar keluarga yang terjejas banjir.

“Sebab itu saya mencadangkan supaya senarai yang terbabit itu diteliti semula dan Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong selaku Pengerusi JPBD menyediakan satu borang khusus bagi pendaftaran mangsa banjir,” katanya.

Ewon berkata, penduduk yang terjejas banjir perlu mengisi borang berkenaan dan disahkan oleh Pengerusi JKKK, Ketua Kampung atau Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) sebelum dihantar kepada JPBD untuk dikemukakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Ketika banjir pada Ahad lalu, hampir 300 mangsa daripada lebih 90 keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang sebelum ia ditutup pada Rabu lalu selepas banjir surut sepenuhnya.

Sementara itu, katanya Pusat Khidmat Parlimen Penampang masih menyalurkan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini.

Katanya, selain bantuan bakul makanan, penduduk terjejas banjir juga diberikan keperluan ringkas lain seperti tilam, bantal, tong gas dan lain-lain kelengkapan yang diperlukan penduduk termasuk sedikit perbelanjaan kepada JKKK, persatuan, parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan gotong-royong pembersihan rumah.

“Kita juga menyalurkan sedikit sumbangan daripada peruntukan Ahli Parlimen kepada sekolah-sekolah yang terjejas banjir dan beberapa persatuan lain yang terjejas termasuk rumah ibadat.

“Saya sedang melihat jenis bantuan yang boleh diberikan kepada pelajar yang terjejas teruk seperti kehilangan baju seragam sekolah, kasut dan kelengkapan lain.

“Menjadi tanggungjawab saya memastikan semua mangsa banjir di Penampang mendapat bantuan bersesuaian,” katanya. – Info X