KOTA KINABALU: Hanya Ramon Machado meninggalkan Sabah FC setakat ini, manakala pemain lain kekal berlatih dan bermain bersama pasukan.
Pengurus Sabah FC, Rafie Robert, menjelaskan dakwaan kononnya beberapa lagi pemain lain bakal mengikut jejak Machado hanya khabar angin.
Katanya, perkara itu ditularkan susulan isu pembayaran gaji yang dikaitkan dengan Sabah FC sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya isu pembayaran gaji sudah reda selepas beliau dan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan bahawa semua pemain sudah menerima gaji sebelum perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, baru-baru ini.
“Betul, selepas selesainya isu tunggakan gaji itu, timbul pula isu pemain mahu keluar. Saya boleh jawab di peringkat saya saja, di peringkat pasukan, mungkin jawapan Datuk Ong juga sama.
“Setakat ini kita tidak mendengar apa-apa permintaan ataupun tawaran daripada mana-mana kelab lain untuk membawa pemain kita keluar.
“Jadi, saya tidak boleh jawab lebih sebab perkara itu tidak sampai ke makluman kami di pihak pengurusan kelab. Jadi, saya beranggapan itu adalah ‘rumuors’,” katanya pada sidang media petang tadi.
Sidang media yang turut disertai Kim Swee dan Ketua Pegawai Operasi Sabah FC, Mohd Syazwan Imran itu bagi menjelaskan isu dikaitkan dengan Sabah FC yang tular di media sosial sebelum ini, khususnya mengenai gaji dan kedudukan pemain.
Antara pemain yang dikhabarkan bakal mengikut jejak Machado seperti tular di media sosial ialah Darren Lok, Saddil Ramdani dan Gabriel Peres.
Sementara itu, Kim Swee berkata semua pemain Sabah FC menjalani latihan seperti biasa dan mereka memahami tugas masing-masing.
“Perkara (khabar angin) berlaku kerana sesuatu isu dan selepas isu itu dijelaskan, saya percaya kita tidak perlu memikirkan lagi mengenai perkara atau ura-ura yang dikatakan di luar sana.
“Pihak kejurulatihan dan pemain kekal untuk menumpukan perlawanan kita seterusnya, lebih-lebih lagi esok kita bermain dalam perlawanan yang cukup penting.
“Jadi, saya berharap kita tidak lagi menimbulkan isu-isu luaran yang mana akan mengganggu terutama dari segi persepsi dan juga prestasi pasukan kita,” katanya.
Malam esok, Sabah FC bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Likas.
Kim Swee berharap penyokong Sabah FC kembali memenuhi stadium sebagai sokongan kepada pasukan. – Info X