SIPITANG: Seramai 103 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah ini menerima sumbangan tilam dan bantal daripada Qhazanah Sabah Berhad (QSB).
Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu disampaikan pengerusinya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, di Kampung Bahagia, di sini, semalam.
Selain barangan kelengkapan rumah itu, beliau turut menyampaikan bakul makanan yang disumbangkan oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musa.
Berucap pada majlis itu, Dr Yusof berharap sumbangan itu dapat meringankan beban keluarga yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Selain penduduk Kampung Bahagia, turut menerima sumbangan ialah mangsa banjir di Kampung Skim Sindumin dan Luagan.
Pada majlis sama, Dr Yusof turut mengumumkan pelaksanaan naik taraf jalan gravel ke jalan konkrit Kampung Bahagia sepanjang 835 meter dengan lebar 3.5 meter.
Kerja naik taraf yang dijadual memakan masa selama tujuh minggu itu bermula pada bulan ini dan dijangka siap pada 29 Ogos depan.
Terdahulu, dalam majlis berasingan di Kampung Kawang Lama, di sini, Dr Yusof turut mengumumkan pelaksanaan naik taraf jalan gravel ke jalan konkrit sepanjang 530 meter di kampung itu.
Dr Yusof berkata, naik taraf ke jalan konkrit adalah untuk keselesaan penduduk kampung kerana ia mampu bertahan lama.
Pada masa sama, beliau mahu kontraktor yang dilantik melaksanakan kerja naik taraf itu supaya dapat menyiapkannya mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan. – Info X