TAWAU: Tiga sekawan yang aktif mencuri rim aloi (sport rim) dan tayar kenderaan ditahan polis di tiga lokasi berasingan di daerah ini, baru-baru ini.
Kumpulan dikenali sebagai geng Loyok ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pada Rabu, Khamis dan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan dari seorang lelaki mengatakan komponen kenderaan mangsa yang diletakkan di luar rumah dicuri oleh dua lelaki tidak dikenali.
Katanya, ketika kejadian itu mangsa tiada di rumah dan kejadian disedari oleh ibu saudaranya lalu menghubungi mangsa dan kerugian dianggarkan berjumlah RM1,000.
“Hasil maklumat dan risikan, suspek pertama warga tempatan berusia 20 tahun ditahan di sebuah bengkel motosikal kawasan Kompleks Takada, jam 4.40 petang, Rabu lalu.
“Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama barang yang dicuri dan turut dirampas sebuah telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan judi dan susulan itu seorang lagi suspek warga asing berusia 24 tahun diberkas di kawasan UTC Bandar Tawau, jam 11.20 pagi, Khamis lalu.
“Suspek dipercayai terbabit dengan kes yang disiasat dan merampas tali pinggang berkepala buku lima yang dipakai.
“Siasatan lanjut polis berjaya memberkas suspek ketiga di sekitar kawasan bangunan UTC Bandar Tawau yang dipercayai turut terbabit kes yang disiasat,” katanya.
Jasmin berkata, suspek warga asing berusia 32 diberkas jam 2.10 petang kelmarin dan semakan rekod jenayah lampau, suspek mempunyai satu rekod berkaitan rompak yang dikehendaki polis.
“Semua suspek dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X