KOTA KINABALU: Peningkatan minat generasi muda, khususnya remaja terhadap e-sukan dan permainan tabletop serta collectible cards atau TCG mampu menghindari golongan itu daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat.
Pengerusi SMART Sabah, Datuk Mohamed Razali Razi, berkata perkembangan itu harus digalakkan bagi membantu menangani gejala sosial dalam kalangan remaja di negara ini.
Katanya, ibu bapa dan masyarakat perlu memahami minat anak masing-masing dan tidak seharusnya menghalang mereka membabitkan diri dalam permainan digital dan berasaskan hobi itu.

“Ini adalah aktiviti menggalakkan jaringan sosial yang sihat kerana apabila kita tertumpu dengan hobi itu, secara tidak langsung ia dapat mengelakkan kita terjebak dalam gejala negatif seperti dadah.
“Minat kita lebih tertumpu kepada perkara seperti ini (e-sukan dan permainan) yang mana ia adalah hobi yang positif,” katanya ditemui selepas menyempurnakan TCG Event, di 1Borneo Hypermall, di sini, semalam.
Program itu dianjurkan penggiat e-sport, permainan tabletop dan collcetible cards dari sekitar Kota Kinabalu dengan kerjasama SMART Sabah dan Majlis Belia Sabah (MBS).

Mohamed Razali menyifatkan program berkenaan sebagai sesuatu yang baik ke arah membentuk jaringan sihat dalam kalangan peminat TCG di negeri ini.
“Bagi saya ini benda yang baharu, tapi sebenarnya ia sudah lama berlaku. Ia bersifatkan program hobi, tapi hari ini kita lihat peminatnya berkumpul dalam satu suasana yang dapat membentuk satu jaringan sihat sambil kita berhibur dengan hobi ini.
“Sebagai orang yang berkeluarga kadang-kadang kita tidak faham dengan kehendak anak-anak kita tetapi melalui aktivti ini, kita nampak sendiri apakah nilai dan budaya yang dibawa dan kita tengok nilainya sangat baik, positif,” katanya.
Beliau berkata, e-sukan dan permainan kad hobi semakin berkembang dan menarik perhatian di negara ini, malah e-sukan juga mendapat tempat dalam Sukan SEA.
“Kita faham bahawa e-sport kini mendapat tempat di Sukan SEA dan melahirkan e-gamers untuk mewakili negeri, tapi jangan lupa juga, kita bukan sa ada e-gamers, malah ada Tabletop dan Collectible Cards juga.
“Mungkin ramai yang belum faham, tapi kita mengharapkan dengan adanya program seperti ini, ia juga boleh melahirkan satu industri yang baik kepada komuniti yang berminat dengan hobi ini,” katanya.
Sementara itu, penganjur TCG Event, Chang Chee Ken, berkata program berkenaan menarik lebih 200 peminat e-sukan, Tabletop dan Collectible Cards, khususnya dari sekitar ibu negeri.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan minat remaja negeri ini terhadap hobi berkenaan dan beliau berhasrat untuk mengadakannya lagi termasuk di tempat lain seperti Tawau dan Sandakan.
Beliau berkata, masih ramai belum mengenali TCG walaupun ia sudah berkembang dan dijadikan program pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Malah, sebenarnya ramai orang Malaysia menyertai kejohanan dunia TCG dan memenangi acara yang disertai, tapi liputan yang kurang menyebabkan tidak ramai yang tahu perkara ini,” katanya. – Info X