KINABATANGAN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dilaporkan hilang di kawasan Kampung Lot M, di sini, hari ini.
Khairil Anuar Mustapa, 31, dikatakan hilang ketika hendak menuju ke kedai milik neneknya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima laporan daripada polis kira-kira jam 7 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Kehilangan Khairil turut dikongsikan di laman sosial Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.
Keterangan fizikal mangsa memiliki ketinggian 170 sentimeter, kurus, botak dan pakaian terakhir sebelum dilaporkan hilang adalah menggunakan baju-T berwarna biru gelap dan seluar track panjang warna hitam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Samsil Akai di talian 013-3526543. – Info X