Search

APMM rekod 37 tangkapan, rampasan lebih RM1.2 juta setakat Jun

July 15, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebanyak 37 kes tangkapan dengan jumlah rampasan dianggarkan melebihi RM1.2 juta direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan bagi tempoh januari hingga 30 Jun lalu.

Pemangku Ketua Pengarah APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, jumlah kes tangkapan ini hampir menyamai jumlah kes tangkapan pada tahun 2022 dan 2023.

Katanya, tahun 2022 lalu bagi tempoh yang sama merekodkan sebanyak 47 kes dengan nilai rampasan lebih RM86 ribu serta 42 kes pada tahun 2023 dengan nilai rampasan melebihi RM270,000.

“Kes tangkapan yang dilakukan membuktikan bahawa APMM, khususnya Zon Maritim Sandakan, serius membanteras aktiviti jenayah dan salah laku di laut.

“Kejayaan kes tangkapan ini turut dibantu oleh maklumat orang ramai, khususnya komuniti maritim seperti nelayan yang mengetahui gerak geri dan aktiviti di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kembara Sahabat Maritim 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan Baru, Pulau Timbang Sandakan, semalam.

Turut hadir, Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik; Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sabah, Ibrahim Othman serta Guru Besar SK Terusan Baru, Osman Ghani.

Saiful berharap komuniti maritim terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada APMM, supaya aktiviti salah laku serta jenayah di laut dapat dibendung, seterusnya memastikan perairan negara selamat dan sejahtera.

Beliau juga berharap program bersama komuniti seperti Sahabat Maritim dapat dilaksanakan secara berkala agar kerjasama antara APMM dan komuniti maritim dapat diperkukuhkan lagi.

Katanya, program Kembara Sahabat Maritim 2024 ini adalah satu langkah proaktif dalam mempererat hubungan dengan komuniti maritim.

“Selain itu, dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan maritim, serta memastikan perairan negara terus selamat daripada ancaman bahaya.

“Melalui pelbagai aktiviti dan program yang dirancang, APMM yakin dan percaya keselamatan serta kesejahteraan perairan negara akan terus terpelihara,” katanya.

Terdahulu, Program Kembara Sahabat Maritim ini berlangsung selama 3 hari bermula pada 12 hingga 14 Julai. – Info X