KINABATANGAN: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ditemui meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik, pagi tadi.
Mayat Khairil Anuar Mustapa, 31, ditemui oleh orang awam kira-kira 350 meter dari rumah mangsa pada jam 10.52 pagi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari pencawang elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 11 pagi,” katanya.
Terdahulu, Khairil Anuar dilaporkan hilang sejak 13 Julai lalu ketika hendak menuju ke kedai milik neneknya di Kampung Lot M, di sini.
Pasukan bomba yang menerima laporan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa. – Info X