KOTA KINABALU: Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) menyatakan komitmennya untuk menambah baik produktiviti, terutama kadar pengendalian kontena dan mewujudkan semula sistem berlabuh tingkapnya untuk mengurus ketibaan kapal dengan lebih baik.
Menerusi satu kenyataan, pengendali Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) itu berkata, ia akan melaksanakan perancangan yang lebih berkesan bagi menyediakan masa yang mencukupi kepada pengendali kontena untuk mengangkut kontena ke pelabuhan.
Pendekatan itu, katanya diketengahkan ketika dialog industri yang diadakan SPSB dengan persatuan logistik dan dewan perniagaan, baru-baru ini bagi membincangkan isu kesesakan yang berlalu di SBCP.
“Isu utama yang dibincangkan termasuk strategi bagi meminimumkan tempoh menunggu berlabuh untuk pengendalian kapal yang lebih cekap dan peruntukan berlabuh, menaik taraf kelengkapan SBCP dan Pelabuhan Tawau serta isu tenaga manusia.
“Forum itu turut menumpukan peranan pemilik kargo dalam mempercepat pelepasan kontena dari pelabuhan dan keperluan penyelarasan dengan Jabatan Kastam untuk mempercepat proses dokumentasi.
“Mesyuarat itu juga mengakui bahawa disebabkan pertumbuhan pelabuhan yang belum pernah berlaku sebelum ini, termasuk rekod pengendalian kargo tertinggi pada Mei 2024 dan pertumbuhan dua angka setakat ini, ruang pelabuhan menjadi terhad,” kata kenyataan itu.
Katanya, pemegang taruh juga menekankan keperluan untuk membesarkan kawasan pelabuhan bagi beroperasi dengan lebih berkesan dan menangani pertumbuhan masa depan, dengan tumpuan terhadap keperluan pembesaran SBCP dan menyediakan ruangan kontena tambahan.
“SPSB memberi jaminan bahawa syarikat akan mengkaji semua maklum balas dan bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi melaksanakan perancangan ini dengan berkesan.
“SPSB mengakui peranan pemegang taruh sebagai penasihat berharga dan menghargai kerjasama mereka dalam menangani cabaran ini bersama,” katanya.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa SPSB amat menghargai usaha diambil Kementerian Kerja Raya Sabah, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keushawanan Sabah dan Majlis Logistik Sabah (SLC) yang mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan cabaran dihadapi SBCP.
Katanya, antara yang menghadiri dialog berkenaan ialah Kementerian Kerja Raya Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Persatuan Ejen Perkapalan Sabah, Sabah Forwarding and Logistics Association, Kota Kinabalu Container Haulier Association, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Persekutuan Perindustrian Sabah (FSI), Persatuan Pengangkutan Lori Pantai Barat Sabah dan Kumpulan Kibing. – Info X