Search

PRN17 : UMNO sasar rampas semula Sindumin, Lumadan

July 17, 2024

Info X Reporters

SIPITANG: UMNO Sabah menetapkan sasaran untuk merampas semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini pernah menjadi kubu kuat parti itu di Parlimen Sipitang.

Kerusi terbabit, iaitu DUN Sindumin yang terlepas kepada WARISAN sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan DUN Lumadan yang terlepas kepada PBS pada 2020 disasar ditawan semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata UMNO dan BN Sipitang perlu menyusun gerak kerja dengan sebaiknya untuk merampas semula kedua-dua kerusi berkenaan.

Katanya, beliau yakin misi itu mampu dicapai jika jentera parti diurus dengan baik dan digerakkan dengan teratur bagi mendekati pengundi dan mengembalikan sokongan kepada UMNO dan BN.

“Saya yakin jika diurus dengan baik dan strategi yang tepat kawasan Parlimen Sipitang yang merangkumi DUN Lumadan dan Sinduman mampu kita tawan semula.

“Kawasan ini secara tradisinya sebelum ini diwakili oleh UMNO. Oleh itu kepimpinan serta ahli UMNO di kawasan ini perlu berusaha untuk memastikan kerusi ini dapat dikembalikan, dirampas semula,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sipitang, di sini, minggu lalu.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua UMNO Bahagian Sipitang, Mohd Abd Rahman Mohd Noh dan Wakil UMNO Sabah, Mohd Rashid Matahon.

Bung Moktar menerima cenderamata daripada Mohd Abd Rahman selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Sipitang.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO meminta UMNO Sipitang supaya menyusun gerak kerja dengan teratur dan memberikan penerangan mengenai isu semasa kepada pengundi.

Katanya, pendekatan itu penting agar pengundi memahami keadaan sebenar dan tidak terus diputar belit dengan isu yang dimainkan pihak lawan sehingga mempengaruhi minda mereka.

Dalam pada itu, Bung Moktar berkata kekuatan UMNO menghadapi PRN akan datang bukan hanya bergantung kepada sokongan ahli UMNO.

“UMNO tidak boleh bergantung semata-mata kepada sokongan ahli parti, mereka yang ada di luar parti juga perlu didekati dan diberikan layanan sama rata terutama dalam kerja tanggungjawab sosial,” katanya. – Info X