Search

APMM tahan bot tunda, tongkang disyaki korek pasir secara haram

July 19, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot tunda dan tongkang selepas disyaki melakukan aktiviti mengorek pasir secara haram di kedudukan 2.89 batu nautika Utara Pulau Daat, di sini, semalam.

Pasukan operasi yang menjalankan Op Sejahtera dan Op Tiris mengesan kehadiran bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan, kira-kira jam 9 pagi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, pemeriksaan mendapati bot tunda bersama tongkang warna hitam didapayi melakukan aktiviti mengorek pasir.

Katanya, hasil pemeriksaan, bot tunda dan tongkang itu dipercayai dikendalikan oleh seorang nakhoda berusia 30 tahun diikuti dengan seorang Chief Officer dan Ketua Jurutera berusia 43 dan 25 tahun masing-masing warga Myanmar dan India.

“Bot disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal mengemukakan buka log rasmi (Official Logbook) dan gagal mengemukakan Contract Crew Agreement.

“Nakhoda, kru, bot tunda dan tongkang ditahan dan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Izwanhadi berkata, orang ramai boleh menyalurkan informasi kelakuan jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam setiap hari. – Info X